Nak prasekolah lebih berkesan? Ini seruan Menteri Pendidikan

Iklan

Tiada agenda yang lebih penting ketika ini selain memastikan pendidikan anak-anak terus diperkasa secara kolektif dan bersepadu, tegas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menggesa semua pihak untuk berpakat demi masa depan generasi muda negara.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program PAKAT: Kurikulum Prasekolah 2026 dan Kurikulum Prasekolah 2026 (Pendidikan Khas) peringkat negeri Pulau Pinang yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurut Fadhlina, pengenalan kurikulum prasekolah baharu itu bukan sekadar pembaharuan kandungan pembelajaran, sebaliknya menuntut pelibatan aktif ibu bapa sebagai rakan strategik kepada pihak sekolah.

“Saya mahu penglibatan penuh ibu bapa dalam menjayakan kurikulum baharu ini. Partisipasi mereka amat penting, termasuk melalui inisiatif membaca bersama anak-anak serta penglibatan sebagai sukarelawan dalam aktiviti sekolah,” katanya.

Iklan

Beliau menegaskan, sokongan awal daripada keluarga mampu membentuk asas pembelajaran yang kukuh, sekali gus membantu perkembangan holistik kanak-kanak seawal usia prasekolah.

Iklan

Program berkenaan turut memberi tumpuan kepada peluasan akses pendidikan, khususnya kepada kanak-kanak berkeperluan khas, selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan tiada murid tercicir daripada arus pendidikan perdana.

Dalam pada itu, Fadhlina turut merakamkan ucapan tahniah kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Tek atas kejayaan membuka tiga kelas prasekolah baharu, sekali gus memberi manfaat lebih besar kepada komuniti setempat di Nibong Tebal.

Beliau menyifatkan usaha tersebut sebagai langkah proaktif pihak sekolah dalam menyokong dasar pendidikan awal kanak-kanak dan memperluas peluang pembelajaran berkualiti kepada rakyat.

“Tahun ini, tahun kita,” katanya, sambil menzahirkan komitmen KPM untuk terus memperkukuh pendidikan prasekolah sebagai asas kepada pembentukan modal insan negara.