Kerajaan Negeri Pahang meneruskan pelaksanaan Program Tunas Makmur tahun ini bagi membantu pelajar sekolah rendah dan menengah, khususnya daripada golongan miskin dan miskin tegar.
Inisiatif melibatkan peruntukan sebanyak RM14.8 juta itu memberi manfaat kepada 68,000 pelajar, merangkumi semua murid Tahun Satu serta pelajar miskin tegar dari Tahun Dua hingga Tingkatan Lima.
Program di bawah Inisiatif Makmur Pahang yang bermula sejak 2022 itu menyediakan set bantuan peralatan pembelajaran lengkap dan berjenama bernilai RM100, termasuk beg sekolah, alat tulis serta kelengkapan pembelajaran lain.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi edisi tahun ini, kerajaan negeri turut memperkenalkan penambahbaikan menerusi pemberian baucar pakaian sekolah tambahan bernilai RM100.
"Kita tidak pernah berhenti melakukan penambahbaikan, namun ia tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa.
"Tahun ini sahaja, program ini melibatkan peruntukan sebanyak RM14.8 juta yang merupakan siling khas untuk inisiatif ini," katanya.
Menurut beliau, pelajar yang tidak layak menerima bantuan tersebut masih boleh menikmati kemudahan lain yang disediakan kerajaan negeri.
"Bagi mereka yang tidak menerima bantuan ini, mereka masih boleh menikmati kad diskaun sebanyak 30 peratus. Namun, bantuan ini diberikan kepada mereka yang benar-benar layak, khususnya golongan miskin," tambahnya.
Rata-rata ibu bapa yang ditemui melahirkan rasa syukur dan menyifatkan bantuan itu sebagai 'talian hayat' dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup ketika ini.
"Memang sangat membantu kerana kos membeli kelengkapan sekolah anak-anak agak tinggi. Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kami," kata Vijaya Samundiswari Veeran, seorang suri rumah.
Seorang lagi penerima, Yuvaneswaran Sathia Morthy, yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat, turut menyambut baik penambahbaikan yang diperkenalkan tahun ini.
"Setiap tahun memang ada sumbangan, tetapi tahun ini lebih baik berbanding tahun lepas. Harapnya tahun depan akan lebih baik lagi.
"Jika boleh, bantuan seperti ini diperluaskan kepada lebih ramai murid," katanya.
Kesemua bantuan berkenaan disampaikan secara serentak pada hari pertama persekolahan di semua sekolah di seluruh Pahang bagi memastikan setiap pelajar dapat memulakan sesi akademik dengan kelengkapan yang sempurna. - Astro Awani