Satu guru, empat kelas: Realiti sekolah hari ini

Iklan
Gambar kecil: Rohannis Amira (bawah) dan Jaharudin.

Fenomena seorang guru yang terpaksa mengajar sehingga empat kelas berbeza dalam sehari bukan lagi isu luar biasa, sebaliknya mempamerkan realiti sebenar yang berlaku dalam sistem pendidikan di negara.

Isu kekurangan guru terutamanya sekolah di kawasan luar luar bandar mahupun pedalaman berada pada tahap kritikal sehingga menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak kerana memberi kesan kepada kebajikan dan hak guru. Tidak dapat dinafikan juga, kualiti pembelajaran bagi setiap pelajar akan turut terjejas.

Iklan
Iklan

Beberapa tahun kebelakangan ini, ramai pengguna sosial media mahupun laporan media yang mendedahkan peningkatan beban tugas seorang guru pada masa kini.

Guru bukan sahaja perlu mengajar malah perlu membuat tugasan-tugasan pentadbiran, pengurusan data, aktiviti kokurikulum dan program-program tambahan luar mahupun dalam sekolah yang diwajibkan. Hal ini berisiko tinggi kepada guru untuk mengalami tekanan dan keletihan sekali gus memberi impak terhadap prestasi dan motivasi mereka di dalam kelas.

Iklan

Terdapat beberapa sekolah yang mengalami kekurangan guru dan guru tersebut terpaksa mengajar subjek di luar opsyen mereka.

Kesan kekurangan guru juga turut diterima oleh pelajar. Proses pengajaran dan pembelajaran (PDPC) menjadi kurang efektif apabila guru hanya mempunyai masa yang singkat untuk memberi perhatian kepada setiap pelajarnya.

Iklan

Pelajar yang lemah akan tetap ketinggalan dan keciciran manakala pelajar yang cemerlang tidak diasah dengan sewajarnya.

Disebabkan kekangan masa, pembelajaran yang beorientasikan projek dan perbincangan turut diketepikan dan tidak dititikberatkan. Apabila keadaan ini sedemikian, ibu bapa sangat risau akan prestasi anak-anak mereka terutamanya anak-anak yang akan menduduki peperiksaan besar yang akan menentukan hala tuju masa depan mereka seperti Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang perlu diambil ketika mereka bergelar sebagai Pelajar Sekolah Menengah Tingkatan Lima.

Jika dilihat dengan teliti, isu kekurangan guru sangat holistik dan bukan tertumpu pada masalah bilangan semata-mata sahaja, malah ia perlu dinilai dari perspektif pengurusan sumber manusia, dasar penempatan dan tahap keberkesanan perancangan dalam tempoh masa panjang.

Pengagihan guru yang tidak seimbang menyebabkan sesetengah sekolah mengalami lebihan guru manakala sekolah yang lain masih mengalami kekurangan guru. Hal ini masih terjadi walaupun setiap tahun, negara melahirkan ribuan graduan dalam

bidang pendidikan.

Kebiasaannya, isu kekurangan guru yang lebih berpengalaman ini terjadi di kawasan sekolah yang berada di luar bandar dan pedalaman sehingga terpaksa bergantung kepada guru baharu yang masih mencari kesesuaian diri dan penerimaan sekeliling dengan cabaran profesion yang baharu di tempat yang baharu, manakala sekolah yang berada di kawasan bandar menjadi rebutan dan pilihan guru-guru baharu atas sebab kemudahan infrastruktur yang lebih baik dan canggih, tahap pengaksesan kepada perkhidmatan asas yang tinggi dan peluang pembangunan profesional yang lebih meluas.

Wujudnya isu ketidaksamarataan agihan guru diakui sendiri oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan mereka telah mengambil beberapa inisiatif untuk penambahbaikan dari segi sistem pengambilan guru, perombakan penempata semula yang lebih efisien dan pemberian insentif yang khusus kepada guru yang berkhidmat dan berjasa di sekolah yang berada kawasan pedalaman.

Namun begitu, tahap keberkesanan inisiatif dan langkah ini menjadi persoalan pada peringkat pelaksanaan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan guru mengalami tekanan. Yang sangat ketara adalah beban tugas yang bukan pengajaran yang dipikul oleh guru tersebut.

Ramai pemerhati pendidikan berpendapat bahawa tugas pentadbiran perlu dikurangkan ataupun setidaknya dibantu oleh kakitangan sokongan khusus supaya para guru dapat fokus untuk memainkan peranan mereka sebagai pendidik.

Isu ini sangat berkait dengan aspek kebajikan dan kesejahteraan mental. Tekanan kerja yang melampau dan berterusan akan menyebabkan guru menjadi keletihan dan sindrom burnout dan bertindak untuk memohon bersara dengan lebih awal lagi daripada masa yang telah dipilih sejak awal dinobatkan sebagai pendidik negara ataupun berniat untuk meninggalkan dunia perguruan. Keadaan ini akan menjadi lebih sukar kerana menambahkan lagi masalah kekurangan guru yang sedia ada.

Kini, negara berada di dalam era teknologi yang canggih, tambahan pula dengan pendidikan digital dan perkembangan yang semakin pesat kecerdasan buatan (AI), cabaran kekurangan guru lebih memerlukan pendekatan secara yang lebih kreatif dan inovatif.

Penggunaan teknologi seperti pembelajaran dalam talian yang menggunakan aplikasi-aplikasi seperti aplikasi WEBEX dan Google Meet, modul secara digital yang boleh didapati di laman web dan sokongan latihan pembelajaran kendiri dilihat mampu untuk mengurangkan kebergantungan secara keseluruhan kepada guru di dalam kelas.

Secara tidak langsung, ia mampu membantu pelajar untuk memahami konsep yang lebih mendalam dan terperinci dengan lebih visual dan interaktif. Jika dilihat dari konteks tertentu, sebenarnya teknologi boleh berfungsi sebagai sokongan tambahan ataupun bahan pengajaran tambahan terutamanya dalam ulang kaji, latihan pengukuhan topik dan pemantauan kemajuan pelajar.

Walau bagaimanapun, teknologi boleh berperanan sebagai pengganti mutlak kepada peranan guru terutama dalam membentuk sahsiah, nilai murni dan insaniah pelajar. Hal ini kerana pelajar memerlukan interaksi manusia yang boleh membina nilai-nilai murni, disiplin dan empati serta kemhiran sosial yang perlu ada di dalam kalangan pelajar. Ia proses pembentukan karakter dan jati diri yang memerlukan sentuhan emosi dan kebijaksanaan manusia dan bukan sekadar pemindahan ilmu.

Pemerhati sosial sangat menegaskan bahawa hak asas setiap rakyat adalah pendidikan dan negara perlu bertanggungjawab untuk memastikan sistem pendidikan berfungsi dengan adil dan efektif. Isu ‘Satu Guru, Empat Kelas’ bukanlah sekadar lakaran cabaran operasi, malah mencerminkan sebagai keperluan yang mendesak untuk pembaharuan secara menyeluruh terutamanya dalam pengurusan pendidikan.

Kerajaan, pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat perlu berganding bahu untuk bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing untuk mencari solusi dalam jangka masa panjang.

Untuk memahami cabaran yang sebenar dan realiti di peringkat akar umbi dan tidak dinafikan juga untuk merangka dasar yang lebih responsif terhadap realiti semasa, dialog terbuka perlu diwujudkan. Ini boleh dijadikan sebagai langkah pendedahan awal untuk semua pihak. Mungkin ada sesetengah pihak mendapat maklumat yang terkini dan baharu.

Realiti seorang individu yang bergelar guru yang perlu mengendalikan empat kelas yang berbeza dalam masa sehari tidak boleh dianggap sebagai norma yang perlu diterima untuk mewujudkan sistem pendidikan yang berkualiti. Beban guru akan terus meningkat dan pelajar akan tetap menjadi mangsa keadaan jika isu ini tiada tindakan tegas dan berkesan daripada pihak atasan.

Pendidikan negara sangat memerlukan komitmen yang kolektif dan keberanian politik untuk memastikan profesion guru sentiasa dihargai, disokong dan diperkasakan lagi demi masa depan untuk generasi yang akan datang.

 

 

Maklumat Penulis:

1 - Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Rohannis Amira Rusly.

2 - Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharudin Padli.