Dalam dekad yang lalu, impian setiap lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara tradisinya adalah untuk menjejakkan kaki ke menara gading, mengejar ijazah dalam bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, atau perguruan.
Namun, landskap cita-cita ini telah mengalami anjakan tektonik yang amat drastik seiring dengan ledakan ekonomi digital.
Hari ini, jika ditanya kepada para pelajar tentang perancangan masa depan mereka, jawapan yang sering kedengaran bukan lagi tentang mengejar profesion profesional, sebaliknya ramai yang lebih tertarik untuk bergelar 'influencer' atau pencipta kandungan di media sosial.
Fenomena ini bukan sekadar trend suka-suka, malah statistik menunjukkan peningkatan peratusan lepasan sekolah yang memilih untuk tidak menyambung pengajian tinggi kerana menganggap ijazah bukan lagi pasport utama kepada kekayaan.
Hal ini menimbulkan tanda tanya besar kepada para pendidik dan ibu bapa: adakah sistem motivasi dan nilai kejayaan yang kita terapkan selama ini sudah tidak lagi relevan dengan realiti dunia luar yang serba pantas?
Salah satu punca utama yang memacu fenomena ini adalah paparan gaya hidup mewah yang ditonjolkan oleh figura media sosial secara berterusan.
Generasi muda disogok dengan naratif bahawa kejayaan boleh dicapai secara ekspres tanpa perlu melalui proses pembelajaran yang panjang dan meletihkan di universiti.
Apabila mereka melihat rakan sebaya atau individu yang lebih muda memiliki kereta mewah dan kediaman gah hanya dengan menghasilkan video berdurasi beberapa saat, timbul satu persepsi bahawa pendidikan tinggi adalah jalan yang terlalu lama dan berisiko.
Tambahan pula, realiti pasaran kerja semasa yang menyaksikan lambakan graduan menganggur atau bekerja di luar bidang dengan gaji permulaan yang rendah mengukuhkan lagi skeptisisme mereka terhadap nilai akademik.
Bagi mereka, daripada menghabiskan masa empat tahun untuk sekeping sijil yang belum menjamin pekerjaan, adalah lebih baik memulakan kerjaya dalam ekonomi gig atau platform media sosial yang menjanjikan aliran tunai segera.
Kecenderungan untuk meninggalkan pendidikan formal ini juga secara tidak langsung mencerminkan kelemahan dalam sistem motivasi di peringkat sekolah.
Selama berpuluh tahun, sistem pendidikan kita terlalu berfokus kepada kecemerlangan akademik berasaskan peperiksaan semata-mata sebagai kayu ukur kejayaan.
Apabila seorang pelajar yang tidak cemerlang dalam subjek teras merasakan mereka tidak mempunyai tempat dalam sistem akademik, mereka mula mencari platform alternatif di mana bakat dan kreativiti mereka lebih dihargai secara langsung melalui 'likes' dan 'shares'.
Sistem motivasi kita gagal memberi kefahaman bahawa pendidikan bukan sekadar untuk mencari kerja, tetapi untuk membina daya fikir dan karakter yang kental.
Akibatnya, pelajar melihat sekolah hanya sebagai pusat 'penyiksaan mental' yang tidak memberi impak kepada kehidupan ekonomi mereka, lalu memilih jalan pintas yang nampak lebih 'glamor' dan menghargai personaliti mereka.
Dari sudut psikologi, keinginan untuk menjadi pempengaruh sangat berkait rapat dengan keperluan manusia untuk mendapat pengiktirafan dan perhatian.
Media sosial menyediakan algoritma yang memberikan kepuasan segera (instant gratification) kepada remaja yang sedang dalam proses mencari identiti diri.
Fenomena ini menjadi berbahaya apabila 'fame' atau populariti dijadikan matlamat utama melebihi kualiti ilmu yang dimiliki.
Ramai remaja tidak menyedari bahawa industri kreatif digital adalah sebuah ekosistem yang sangat kompetitif dan tidak stabil. Populariti boleh pudar dalam sekelip mata, dan tanpa asas ilmu yang kukuh, mereka akan sukar untuk bertahan apabila trend bertukar arah.
Kegagalan kita adalah dalam mendidik mereka membezakan antara 'kemahiran mencipta kandungan' yang bersifat profesional dengan 'mengejar perhatian' yang bersifat dangkal.
Kita perlu mengintegrasikan elemen celik media dalam kurikulum agar mereka faham bahawa menjadi pencipta kandungan juga memerlukan disiplin ilmu yang tinggi, bukan sekadar gimik murahan.
Bagi menangani isu ini, pendekatan yang diambil tidak seharusnya bersifat menghukum atau memandang rendah terhadap minat mereka dalam dunia digital.
Sebaliknya, ibu bapa dan pendidik perlu memainkan peranan sebagai pembimbing yang bijak dalam menyelaraskan minat anak-anak dengan keperluan pendidikan formal.
Ibu bapa harus menekankan bahawa pendidikan adalah insurans jangka panjang yang akan melindungi mereka jika kerjaya sebagai influencer tidak menjadi.
Kita perlu mengubah naratif motivasi daripada 'belajarlah supaya dapat kerja gaji besar' kepada 'belajarlah supaya kamu mempunyai ilmu untuk menguruskan apa jua kerjaya yang kamu pilih, termasuklah sebagai usahawan digital'.
Sinergi antara minat dalam media sosial dan pendidikan akademik harus diwujudkan. Sebagai contoh, seorang pencipta kandungan yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang pemasaran atau komunikasi pasti akan lebih berjaya dan beretika berbanding mereka yang hanya bergantung kepada nasib dan kontroversi.
Sebagai penutup, menjadi pempengaruh atau 'influencer' bukanlah satu kesalahan, malah ia merupakan cabang ekonomi baharu yang mempunyai potensi besar jika diuruskan dengan betul.
Namun, apa yang membimbangkan adalah apabila pendidikan dianggap sebagai bebanan yang tidak lagi perlu dipikul.
Kita perlu membaiki sistem motivasi negara agar ia tidak hanya melahirkan robot yang pandai menjawab peperiksaan, tetapi individu yang mempunyai literasi tinggi tentang realiti dunia semasa.
Pendidikan harus dilihat sebagai alat untuk memperkasa kreativiti, bukan penghalang kepadanya. Harapan kita adalah untuk melihat generasi masa depan yang bukan sahaja popular di layar skrin, tetapi juga mempunyai kedalaman ilmu dan integriti moral yang tinggi.
Kejayaan sejati tidak diukur pada jumlah pengikut di Instagram atau TikTok, tetapi pada manfaat yang diberikan kepada masyarakat melalui ilmu dan kebijaksanaan.
Sudah tiba masanya kita menyuntik semula roh pendidikan dalam impian setiap remaja Malaysia agar mereka tidak tersesat dalam fatamorgana dunia digital yang penuh kepalsuan.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Fatihah Abdul Ghani
2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (UMT), Dr Jaharudin Padli