Pewujudan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) diibaratkan seperti sebuah 'makmal' yang menjadi pelaburan awal kerajaan negeri dalam membangunkan bakat tempatan berkemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Negeri Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, kumpulan tenaga kerja profesional seperti jurutera, teknokrat dan akauntan amat diperlukan sebagai tunjang utama dalam menarik kehadiran syarikat multinasional berteknologi tinggi yang semakin menapak berikutan kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pelaburan dalam pembangunan bakat STEM, menurut beliau perlu dilaksanakan secara progresif dengan mencontohi China apabila melahirkan jutaan graduan dalam bidang itu yang menyumbang kepada pengukuhan ekosistem industri bernilai tinggi dan kestabilan ekonomi negara Tembok Besar itu.
Beliau berkata, berdasarkan buku What It Takes: Southeast Asia karya bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Gita Wirjawan, Asia Tenggara hanya melahirkan sekurang-kurangnya 750,000 graduan STEM setiap tahun, jauh lebih rendah berbanding China yang menghasilkan kira-kira 4.5 juta graduan dalam tempoh sama.
"Kita dapat lihat negara maju seperti China, faktor penyumbang utama mereka ialah lepasan STEM. Justeru, saya mempunyai keyakinan cukup tinggi bahawa dengan SRBJ, kita sedang membentuk kumpulan bakat bagi memenuhi keperluan STEM dan juga bahasa Inggeris," katanya.
Hasni yang juga Pengerusi Eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) berkata SRBJ turut memfokuskan penguasaan bahasa Inggeris, seiring dengan langkah memastikan bakat tempatan memiliki keupayaan kognitif tinggi, pemikiran kritikal serta berkebolehan membuat keputusan berasaskan data dan fakta.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, pendekatan pendidikan secara holistik itu penting dalam membentuk generasi yang berdaya fikir, tidak mudah dipengaruhi maklumat tidak sahih selain mampu menilai dan mentafsir maklumat secara rasional dalam persekitaran global yang semakin kompleks.
"Jika kita mampu menguasai bahasa, kita akan lebih mudah untuk faham dan buat keputusan. Jadi ini juga satu faktor yang menyumbang kepada aspek memperluas kapasiti (intelektual) rakyat Johor," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata lulusan berkemahiran bukan sahaja diperlukan untuk menyokong operasi industri berteknologi tinggi, tetapi juga mampu menjadi tunjang dalam memastikan ekosistem ekonomi negeri terus mampan dan kompetitif pada peringkat serantau.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu meluahkan hasrat untuk mengikut jejak langkah kerajaan negeri dengan menjadikan sekolah dalam kawasan Parlimen itu, terutamanya di luar bandar ditransformasikan mengikut model SRBJ.
Usaha itu, katanya setakat ini, masih dalam peringkat perancangan selain berpendapat ia boleh dilaksanakan dengan kerjasama syarikat pusat data yang berada berhampiran kawasan Parlimen itu agar mereka turut sama menyumbang dalam memperkasakan ekosistem pendidikan.
Sementara itu, Exco Penerangan dan Pendidikan negeri, Aznan Tamin berkata, ekosistem pendidikan melalui SRBJ bersifat holistik dan berterusan bermula dari peringkat awal kanak-kanak sehingga ke alam pekerjaan.
"Ketika ini kerajaan negeri sedang menghalusi pelaksanaan Tadika Rintis Bangsa Johor melalui kerjasama strategik bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Yayasan Pelajaran Johor yang akan berfungsi sebagai feeder system (sistem penyuap) kepada SRBJ sedia ada," katanya.
Aznan berkata, perancangan transformasi pendidikan telah disusun secara rapi dengan visi menjadikan Johor sebagai Negeri Peneraju Sistem Pendidikan Berkualiti.
"Kita juga mempunyai misi menerapkan pelan strategik pendidikan dari peringkat awal kanak-kanak bagi melahirkan generasi Bangsa Johor yang cemerlang dan berdaya saing menjelang 2031," katanya.
SRBJ ialah cetusan ilham Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan dilaksanakan di empat sekolah terpilih di Johor Bahru, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara, Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, SMK Seri Kota Puteri 2 serta SK Seri Kota Puteri 4, dengan kesemuanya turut menerima pengiktirafan sebagai Apple Distinguished School.
Menerusi kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor, pelaksanaannya memberi penekanan kepada penguasaan Bahasa Inggeris tanpa meminggirkan Bahasa Melayu selain mengukuhkan kemahiran STEM, pembangunan sahsiah serta kebolehpasaran murid dan pentaksiran kompetensi setara penilaian bertaraf antarabangsa dan selari dengan dasar Kementerian Pendidikan (KPM).
Secara keseluruhan, projek SRBJ melibatkan peruntukan RM54 juta dengan RM31.22 juta diperuntukkan bagi Fasa Satu dan RM22.78 juta bagi Fasa Dua, merangkumi kerja naik taraf infrastruktur serta pelaksanaan modul pendidikan berimpak tinggi. - Bernama