Penuntut UTHM maut, empat rakan cedera kereta terbabas

Iklan
Dalam nahas kira-kira jam 1.05 tengah hari itu, Mohd Amir Faizal meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala. (Gambar JBPM)

Seorang penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) cawangan Pagoh, Johor maut, manakala empat lagi rakannya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Felda Moakil pada Sabtu.

Dalam nahas kira-kira jam 1.05 tengah hari itu, Mohd Amir Faizal Hasrolnizam, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Iklan
Iklan

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang merupakan penuntut Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik bersama empat lagi penuntut UTHM terbabit dalam perjalanan pulang selepas mandi-manda di kawasan air terjun berhampiran Bekok.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, Mohd Amir Faizal merupakan penumpang belakang sebuah kereta jenis Honda Accord.

Iklan

Penuntut UTHM yang lain iaitu pemandu kereta, Dameer Amir Mokhzani Aris, 21, mengalami kecederaan parah di kepala, manakala penumpang Ameer Ikhwan Ahmad Nurul Lail, 21; Muhammad Aiman Musa, 21; dan Muhammad Hakimi Hisyamuddin, 21, cedera ringan.

"Kesemua mangsa yang cedera sedang dirawat di Hospital Segamat. Siasatan mendapati kesemua mereka dalam perjalanan dari Labis ke pekan Pagoh.

Iklan

"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan yang dinaiki terbabas ke bahu kiri jalan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambah beliau, orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 51 saat memaparkan anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut. - Sinar Harian