Bukan sekadar destinasi beli-belah, Alamanda Shopping Centre di Putrajaya kini semakin dikenali sebagai lokasi pilihan keluarga untuk meluangkan masa berkualiti bersama insan tersayang.
Gabungan penyewa baharu dan lama yang menawarkan pelbagai pilihan jenama dengan pengalaman berbeza, pusat beli-belah itu tampil merancakkan lagi suasana untuk pengunjung pelbagai lapisan usia.
Pengurus Perhubungan Awam & Komunikasi Suria KLCC Sdn Bhd, Sherina Khairi berkata, kemudahan mesra keluarga yang tersedia juga menjadikan lokasi itu serba lengkap.
Katanya, pengunjung bukan sahaja datang untuk membeli-belah, malah mereka boleh beriadah, bersantai dan mencipta momen bersama.
"Daripada gelanggang boling, pawagam dan karaoke sehinggalah ke Escape Putrajaya. Dalam satu ruang ini, kanak-kanak, remaja dan ibu bapa boleh menemukan aktiviti pilihan.
"Jadi, di Alamanda Shopping Centre inilah masa berkualiti yang diluangkan lebih bermakna untuk seisi keluarga," katanya selepas memberi pelepasan kepada peserta Vlog Battle Alamanda 2026 beraksi.
Seiring perubahan trend gaya hidup, pihak pusat beli-belah itu turut komited menaik taraf fasiliti dan membawa masuk lebih banyak jenama dan acara yang relevan dengan kehendak semasa.
Kata Sherina lagi, usaha berterusan ini bukan sahaja menyuntik nafas baharu, malah memastikan ia kekal sebagai hab komuniti yang hidup dan dinamik.
"Visi Alamanda jelas iaitu setiap langkah yang diatur ke sini perlu menghadirkan pengalaman segar buat pengunjung.
"Bermula daripada menjamu selera, membeli-belah hinggalah beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan, semuanya boleh dinikmati di bawah satu bumbung.
"Di sinilah kebersamaan dirai dan kenangan indah tercipta, hari demi hari," ujarnya lagi.