Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan kurikulum persekolahan baharu secara berperingkat bermula tahun hadapan bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal relevan dan dinamik.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, fasa pengenalan kurikulum baharu itu melibatkan murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada 2027, sebelum diperluas kepada Tahun 2 dan Tingkatan 2 pada 2028.
“Setiap kurikulum digunakan untuk tempoh tertentu. Apabila sampai masa, kurikulum baharu akan diperkenalkan. Semakan juga boleh dibuat untuk subjek tertentu dari semasa ke semasa jika perlu,” katanya di Dewan Rakyat.
Dalam usaha mengukuhkan pendidikan kenegaraan, KPM telah mengintegrasikan elemen sejarah dan sivik dengan pendedahan awal mengenai demokrasi. Pengukuhan literasi politik turut dilakukan melalui kerjasama dengan Akademi Pilihan Raya bagi memberi pengalaman autentik kepada murid tentang proses pengundian.
Selain itu, bermula tahun ini, KPM melaksanakan Program Pembentukan Karakter Generasi Madani yang menumpukan kepada pengukuhan nilai patriotisme dan pembinaan jati diri positif dalam kalangan murid.