UPKK 2025: 1,664 calon peroleh 9A di Perak!

Iklan
(Gambar hiasan)

Seramai 1,664 daripada 16,292 calon yang hadir Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025 di Perak, mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh A dalam semua sembilan mata pelajaran peperiksaan itu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, daripada jumlah keseluruhan calon yang hadir itu juga, 1,929 calon mendapat 8A dan 1,345 calon memperoleh 7A, selain Perak berjaya mengekalkan rekod Sifar D selama dua tahun berturut-turut.

Iklan
Iklan

"Bagi Peperiksaan UPKK 2025 negeri Perak, pencapaian prestasi calon yang mencapai tahap lulus keseluruhan adalah sebanyak 91.74 peratus. Bagaimanapun, terdapat beberapa indikator positif yang wajar diberi perhatian.

"Sebanyak 16,414 calon yang mendaftar bagi menduduki UPKK 2025 bertempat di 370 pusat peperiksaan daripada 695 premis KAFA berdaftar di bawah JAIPk. Jumlah ini menunjukkan pertambahan 4.14 peratus berbanding 15,743 calon pada tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Harith Fadzilah berkata, sejumlah 16,292 calon hadir untuk menduduki UPKK tahun lepas dengan peningkatan peratus kehadiran sebanyak 4.21 peratus (686 calon) berbanding UPKK 2024 yang menunjukkan peningkatan kehadiran calon berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beliau berkata, pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) berdasarkan analisis UPKK 2025 bagi semua calon terlibat menunjukkan peningkatan, iaitu 1.75 mata berbanding 1.76 mata pada 2024 dan negeri Perak berada pada ranking keenam bagi peringkat kebangsaan.

Iklan

Berdasarkan analisis kelulusan mata pelajaran, beliau berkata daerah terbaik UPKK 2025 negeri Perak ialah daerah Ipoh dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.67.

"Secara keseluruhannya, JAIPk bersama dengan petugas-petugas peperiksaan telah berjaya mengurus dan menyelaras peperiksaan UPKK Tahun 2025 dengan jaya. Bagaimanapun, keputusan yang dicapai menuntut kita semua untuk bermuhasabah dan memperkukuh usaha penambahbaikan.

"Sehubungan dengan itu, saya menyeru agar semua pihak, Guru Besar, ibu bapa dan murid terus berusaha dengan penuh komitmen, memperkukuh strategi pembelajaran serta memupuk semangat tidak mudah berputus asa," katanya. - Bernama