Setiap kali tiba sambutan Aidilfitri, kegembiraan murid bukan sahaja terletak pada pakaian baharu atau juadah di meja, malah paling ditunggu-tunggu sudah tentu sampul berisi duit raya.
Namun di sebalik kegembiraan itu, ia sebenarnya boleh dimanfaatkan sebagai ruang pendidikan awal tentang pengurusan kewangan.
Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar, Abdul Muiez Mohammad Ruslee berkata, pihak sekolah boleh menggunakan pendekatan yang dekat dengan kehidupan harian murid untuk memperkenalkan konsep asas pengurusan wang.
“Pendekatan santai seperti perbincangan semasa kelas ganti atau ucapan ringkas ketika perhimpunan sekolah akan memberi kesan yang besar kepada pemahaman murid.
“Melalui kaedah ini, murid boleh dilibatkan dalam aktiviti simulasi mudah yang menggambarkan situasi sebenar.
“Saya bagi contoh, soalan ringkas seperti; 'kalau dapat RM100 duit raya, berapa mahu guna dan berapa mahu simpan?'
“Jadi, dari situ murid mula memahami bahawa wang yang diterima boleh dibahagikan kepada beberapa keperluan,” katanya kepada Sinar Bestari.
Mengulas lanjut, ujar Abdul Muiez, sebahagian wang itu boleh diperuntukkan untuk simpanan, sebahagian lagi untuk keperluan harian.
Selebihnya pula boleh digunakan untuk kegembiraan diri seperti membeli buku, alat tulis atau barangan yang diminati.
“Apabila murid melihat contoh yang jelas dan dekat dengan pengalaman mereka sendiri, konsep menyimpan menjadi lebih mudah difahami.
“Mereka mula menyedari bahawa menyimpan bukan bermaksud tidak boleh berbelanja, sebaliknya belajar mengawal diri dan membuat pilihan yang bijak,” katanya lagi.
Tanam kesedaran dalam diri
Pada masa sama, guru bimbingan dan kaunseling juga boleh menanam kesedaran bahawa setiap wang yang diterima mempunyai nilai dan bukan datang dengan mudah.
Abdul Muiez berkata, perkara ini boleh dikaitkan dengan usaha ibu bapa yang bekerja keras mencari rezeki demi memenuhi keperluan keluarga.
“Murid juga boleh didedahkan dengan perbezaan antara keperluan dan kehendak.
“Pendedahan awal ini penting supaya mereka tidak terbiasa membuat pembelian secara impulsif tanpa berfikir panjang,” tambahnya.
Dengan bimbingan yang berterusan, murid akan lebih cenderung untuk berfikir terlebih dahulu sebelum membuat keputusan membeli sesuatu.
Secara tidak langsung, pendidikan kewangan yang bermula daripada perkara kecil seperti duit raya mampu membentuk sikap lebih bertanggungjawab terhadap wang sejak di bangku sekolah lagi.
Reaksi murid
"Selalu abah tanya nak pegang sendiri ke nak umi simpan duit raya. Kalau dapat duit raya banyak, saya bagi umi simpan dulu dalam bank.
“Tetapi kalau nampak mainan yang saya suka, mungkin akan guna sikit saja, yang lain simpan.
"Saya juga suka kira duit raya dengan abang-abang. Seronok tengok siapa dapat banyak.” - Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) TUDM Subang, Wan Khadeeja Illiyyina Wan Mohd Saufi, 9.
"Kalau dapat duit raya, selalunya saya akan simpan sendiri untuk kegunaan peribadi. Kadang-kadang guna untuk beli peralatan sekolah juga.
"Mungkin tahun ini, saya nak simpan sebab ia penting untuk pembelajaran selepas tamat sekolah.
“Walaupun kuantiti tidaklah terlalu banyak tetapi saya mula untuk menabung supaya mudah untuk sambung belajar di mana-mana universiti nanti.” - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Siti Adriana Eryssa Mohd Khairul Azwam, 16.
"Setiap tahun, saya paling suka buka sampul duit raya dan kira bersama adik-beradik lain. Selepas dah tahu jumlah duit raya, ayah suruh kami asingkan berapa yang nak simpan dan berapa yang nak digunakan untuk membeli buku.
“Bila saya dah asingkan, ayah akan masukkan dalam Tabung Haji sebagai simpanan.” - Pelajar Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (SIRAJ) Saidina Uthman Bin Affan, Nurfatihah Muhamad Tarmize, 11.