Cuaca panas: KPM junjung titah Agong pastikan keselamatan warga sekolah terpelihara

Iklan

Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah dipastikan terpelihara berikutan cuaca panas ketika ini.

KPM dalam kenyataan memaklumkan titah Sultan Ibrahim menjadi peringatan kepada semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengikuti garis panduan ditetapkan.

Iklan
Iklan

"KPM telah mengeluarkan arahan berkaitan kepada semua institusi pendidikan bawah kelolaannya. Ini termasuk keperluan untuk memantau pelaksanaan aktiviti luar serta kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di sekolah untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas," menurut kenyataan itu.

Semalam, Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menekankan kepentingan menjaga kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar yang terdedah kepada cuaca panas serta memastikan pengambilan air yang mencukupi sepanjang tempoh berkenaan.

Iklan

Sultan Ibrahim turut bertitah agar KPM mengambil perhatian serius berkenaan perkara itu bagi memastikan kesihatan murid serta pelajar tidak terjejas berikutan fenomena cuaca panas. - Bernama