SPM 2025: Pelajar autistik raih 10A, sasar kerjaya bidang IT

Iklan
Nur Syahirah Syazwani membuktikan kekangan yang dihadapi bukan penghalang untuk berjaya apabila meraih keputusan cemerlang 10A dalam peperiksaan SPM.

Seorang pelajar autistik membuktikan dirinya juga mampu meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Nur Syahirah Syazwani Zailani, 18, daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lil Banat di sini memperoleh 1A+,6A,3A-,1B sekali gus melepasi sasaran awalnya 8A.

Iklan
Iklan

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata tidak menyangka mampu mencapai keputusan itu kerana berhadapan pelbagai cabaran sepanjang tempoh pembelajaran.

"Saya mengulang kaji pelajaran tiga hingga empat jam sehari, terutamanya mata pelajaran Fizik dan Biologi yang memerlukan pemahaman mendalam.

Iklan

"Selain itu, saya mengikuti tuisyen berbayar secara dalam talian dan kelas tambahan dianjurkan sekolah secara berkala," katanya ketika ditemui pemberita di sekolah itu hari ini.

Nur Syahirah berkata dirinya disahkan menghidap autisme pertengahan ketika berusia 16 tahun dan melalui fasa sukar apabila mudah berasa tertekan dan kurang gemar bergaul dengan rakan.

Iklan

"Simptom ini mula terjadi semasa di tingkatan dua dan semakin ketara, menyebabkan saya mula belajar untuk mengawal emosi, terutamanya menjelang SPM.

"Saya tidak mahu kekurangan diri menjadi penghalang untuk mencapai kecemerlangan. Kalau rasa tertekan saya akan tenangkan diri dengan membaca al-Quran," katanya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad (kanan) bersama Nur Syahirah Syazwani melihat keputusan peperiksaan SPM 2025 melalui pautan laman web rasmi Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Remaja itu berkata sokongan moral berterusan daripada ibu Maznah Kadir, 51, dan bapa Zailani Zakaria, 57, juga membuatkan dirinya semakin bertekad untuk membanggakan mereka.

Nur Syahirah yang masih menerima rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sementara itu, Maznah berkata dirinya bersyukur dan bangga atas kejayaan anaknya yang disifatkan sebagai seorang yang rajin berusaha dan penyabar.

"Saya berharap kejayaan Nur Syahirah menjadi inspirasi kepada pelajar lain, khususnya mereka yang senasib supaya mempunyai disiplin dan usaha yang kuat untuk mencapai kecemerlangan akademik," katanya. - Bernama