KPM teliti pematuhan SOP susulan kes dua pelajar IPG lemas

Iklan
Fadhlina berkata, KPM juga sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga pelajar yang terlibat dengan memberi keutamaan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan mereka

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memulakan siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan, susulan insiden dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang ditemukan lemas. 

Menterinya, Fadhlina Sidek dalam hantaran di Facebook berkata, kejadian itu juga, turut berada dalam siasatan pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, KPM juga sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga pelajar yang terlibat dengan memberi keutamaan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan mereka.

"Mewakili seluruh keluarga KPM, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar IPG Kampus Perlis, yang mengalami kemalangan sewaktu mengikuti Program Pendidikan Luar Kampus. 

Iklan

"Semoga seluruh keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata, tragedi semasa aktiviti berkayak itu, dipercayai berpunca daripada ombak dan arus kuat.

Iklan

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan merujuk kes tersebut kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal, kayak (dinaiki mangsa) terbalik akibat ombak dan arus, sebelum mangsa ditemukan tersangkut pada jaring nelayan tempatan.

"Kita juga akan merujuk laporan polis kepada Maritim Malaysia untuk siasatan punca kemalangan di laut," katanya menerusi kenyataan media. 

Dalam kejadian kira-kira 5 petang, dua pelajar IPG tersebut ditemukan meninggal dunia akibat lemas semasa melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, dilaporkan ditemukan pada 7.30 malam. 

Hanyan berkata, kedua-dua mangsa memakai jaket keselamatan ketika menjalankan aktiviti tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). - Bernama