120 pelajar cemerlang SPM DUN Sungai Manik diraikan, terima insentif hingga RM400

Iklan
Setiap daripada mereka yang meraih antara 5A hinggga 10A masing-masing menerima sumbangan wang tunai RM200 hingga RM400 di bawah inisiatif program pelajar cemerlang yang digerakkan Skuad Prihatin.

Seramai 120 pelajar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik, Perak yang memperoleh keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu diraikan dalam majlis khas di sini.

Setiap daripada mereka yang meraih antara 5A hinggga 10A masing-masing menerima sumbangan wang tunai RM200 hingga RM400 di bawah inisiatif program pelajar cemerlang yang digerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Skuad Prihatin.

Iklan
Iklan

Penaung Skuad Prihatin, Mohd Nazari Sabran berkata, pengiktirafan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi menyuntik motivasi selain membantu mereka dalam merancang masa depan pendidikan.

"Saya mengharapkan program ini dapat diteruskan bagi membantu anak-anak terutama apabila mereka menerima tawaran melanjutkan pengajian. 

Iklan

"Jika ada kekangan, mereka boleh tampil dan kami akan cuba bantu sebaiknya," katanya sempena Kenduri Rakyat Aidilfitri DUN Sungai Manik 2026 di Dewan Besar Parit 6/6 Pekan Rabu baru-baru ini.

Iklan

Menurutnya, jumlah penerima bagi kategori pelajar cemerlang meningkat tahun ini susulan pembukaan penyertaan kepada anak-anak Sungai Manik yang menuntut di luar kawasan.

"Kalau sebelum ini kita hanya fokus kepada empat sekolah di sini, kali ini kita buka kepada semua anak (DUN) Sungai Manik yang berjaya walaupun belajar di luar. Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Kenduri Rakyat yang diadakan berjaya menghimpunkan hampir 5,000 penduduk setempat.

Mohd Nazari yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak berkata, pelbagai pengisian lain diadakan termasuk penyampaian kotak bantuan kepada 250 keluarga serta sumbangan kepada 26 bakal jemaah haji dari kawasan berkenaan.

Katanya, penganjuran program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama beberapa NGO tempatan termasuk penglibatan aktif kumpulan Belia Prihatin.

"Walaupun persiapan agak mencabar dengan pertambahan penerima pada saat akhir, alhamdulillah semuanya berjalan lancar dengan sokongan pelbagai pihak," katanya.