Seramai 108 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari Matunggong, Kota Marudu di sini, menerima reward masing-masing apabila diberikan wang insentif antara RM500 hingga RM1,000 bagi pencapaian 5A ke 10A.
Insentif itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik pelajar yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam peperiksaan SPM lalu.
Penerima insentif tersebut terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinawantai Kudat, SMK Sikuati dan SMK Sikuati II, selain lapan pelajar dari Matunggong yang sedang menuntut di luar daerah.
Salah seorang penerima, Clariryan Fadrer Janius dari SMK Pinawantai yang memperoleh 9A berkata, disiplin dan konsistensi menjadi kunci utama kejayaannya dalam peperiksaan tersebut.
"Saya berasa sangat gembira dan bangga atas usaha keras ini, dan saya percaya disiplin, konsistensi serta fokus adalah kunci untuk mencapai keputusan yang baik.
"Hasil daripada usaha ini saya berjaya peroleh keputusan yang membanggakan dan insentif ini saya akan gunakan untuk menyambung pengajian nanti," katanya selepas menerima insentif itu dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Mini Urusetia Daerah Kecil Matunggong, di sini.
Bagi Charlotte Ivenne Lomius dari SMK Sikuati II yang memperoleh 8A pula, fokus dalam pembelajaran membantunya mengekalkan prestasi meskipun berdepan cabaran sebagai pelajar asrama.
"Saya memastikan sentiasa fokus semasa pembelajaran dan memahami sepenuhnya apa yang diajar walaupun berdepan kekangan," katanya.
Sementara itu, Ruth Nathalie Juining dari SMK Sikuati yang memperoleh 7A berkata, ibu bapanya yang juga guru menjadi sumber inspirasi utama untuk terus berjaya dalam pelajaran.
"Ibu bapa saya memberi dorongan untuk berjaya, dan saya berharap dapat menjadi seorang guru seperti mereka serta mengajar subjek yang saya minati," katanya.
Berdasarkan pencapaian direkodkan, SMK Pinawantai mencatatkan seramai 11 pelajar memperoleh 5A, tujuh pelajar 6A, lima pelajar 7A, dua pelajar 8A dan empat pelajar 9A.
SMK Sikuati pula merekodkan 18 pelajar memperoleh 5A, 12 pelajar 6A dan tiga pelajar 7A, manakala SMK Sikuati II mencatatkan 16 pelajar memperoleh 5A, lima pelajar 6A, lima pelajar 7A, seorang pelajar 8A dan empat pelajar 9A.
Antara pencapaian membanggakan ialah dua pelajar dari luar daerah yang berjaya memperoleh 10A, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi akademik pelajar Matunggong dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, program yang diperkenalkan sejak tahun 2019 itu mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong kecemerlangan pelajar, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong berkata, sepanjang tujuh tahun pelaksanaan program berkenaan, jumlah pelajar cemerlang di kawasan itu menunjukkan peningkatan yang konsisten dan tidak pernah menurun.
"Sepanjang tujuh tahun pelaksanaan program ini, jumlah pelajar cemerlang di Matunggong menunjukkan peningkatan yang konsisten dan tidak pernah menurun.
"Hari ini, kita melihat semakin ramai pelajar mencapai keputusan cemerlang termasuk 7A, 8A malah sehingga 10A, yang jelas membuktikan bahawa sokongan berterusan mampu menghasilkan kemajuan sebenar," katanya.
Dalam pada itu, Julita turut mengingatkan pelajar bahawa kejayaan selepas alam persekolahan banyak bergantung kepada pilihan yang dibuat setiap hari.
"Masa depan anda ditentukan oleh pilihan yang anda lakukan setiap hari. Pilih untuk hidup dengan tujuan, utamakan disiplin berbanding motivasi, dan bina sahsiah berbanding mengambil jalan mudah," katanya.
Program insentif itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada pencapaian pelajar, selain menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat.