Sambutan Hari Guru merupakan detik istimewa menghargai jasa dan pengorbanan insan bergelar pendidik yang sentiasa menjadi pelita dalam kegelapan ilmu.
Dalam suasana penuh emosi dan penghargaan ini, para pelajar tampil meluahkan rasa cinta, terima kasih dan penghormatan buat guru-guru tersayang.
Setiap ucapan yang dititipkan bukan sekadar kata-kata tetapi lahir dari hati yang tulus, menghargai setiap didikan dan bimbingan yang telah diberikan.
Jom kita selami ucapan mereka buat cikgu kesayangan yang menjadi inspirasi di sepanjang perjalanan menuntut ilmu.
1)"Selamat Hari Guru kepada insan yang membina masa depan dengan penuh sabar dan kasih sayang, moga setiap kebaikan yang cikgu tabur dibalas keberkatan berpanjangan." - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Klang, Selangor, Azra Imani Suhairul Nizam, 13.
2)"Cabaran cikgu sekarang bukan lagi tentang ketaatan buta tetapi tentang memenangi hati dan minda generasi yang kritis. Mengajar hari ini memerlukan kesabaran setinggi langit. Selamat Hari Guru, cikgu." - Pelajar SMK Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor, Muhammad Adam Putra, 15.
3)"Bergelar guru adalah kurniaan yang mulia dan bimbinganmu itu anugerah yang tiada galang gantinya. Selamat Hari Guru buat insan yang sabar mendidik kami menjadi insan berguna." - Pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hisamuddin, Klang, Selangor, Nur Iffah Rasyiqah Mohd Wazir Shafiq, 13.
4)"Arwah Ustaz Adzuan Hafiz Ahmed bukan sekadar seorang guru tetapi insan yang banyak mencurahkan ilmu, nasihat dan kasih sayang. Pemergian yang sangat dirasai, namun jasa cikgu dalam membentuk akhlak dan masa depan kami tidak pernah dilupakan." - Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Medan, Teluk Panglima Garang, Selangor, Muhammad Khairiel Rayyan Mohd Khairul Azwam, 10.
5)"Jasa dan pergorbanan guru yang tidak kenal erti penat dalam mendidik anak bangsa akan sentiasa dihargai hingga hujung nyawa, Selamat Hari Guru, cikgu." - Murid SK Seksyen 27(2), Shah Alam, Selangor, Hasya Medina Zukifli, 10.
6)"Terima kasih telah mengajar kami seperti seorang guru, melindungi kami seperti ibu bapa kami dan membimbing kami seperti seorang mentor. Selamat Hari Guru kepada guruku tercinta." - Murid SK Alor Bakat, Melor, Kelantan, Mohammad Syamil Dzulfiqar Mohammad Syukrie, 6.
7)"Setiap ilmu yang cikgu curahkan ibarat cahaya yang menerangi perjalanan kami menuju kejayaan. Terima kasih kerana tidak pernah jemu mendidik dan sentiasa menjadi insan yang sabar serta penyayang buat kami." - Pelajar SMK Jalan Kebun, Surfina Hani Shafri, 15.
8)"Di sebalik kejayaan seorang insan, pasti ada jejak ilmu yang cikgu tinggalkan.Terima kasih kerana menjadi nakhoda yang membawa kami ke tepian ilmu dengan penuh keikhlasan." - Pelajar Kolej Vokasional Klang, Selangor, Muhammad Qayyum Aqil Aznan, 16.