Sebanyak lima Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terpilih bakal menjadi medan awal melahirkan generasi celik teknologi apabila Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional dalam Kecerdasan Buatan (TVET-AI) mula diperkenalkan tahun ini.
Usaha itu direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Universiti Multimedia dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada Isnin.
Kerjasama tersebut dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh pendidikan masa hadapan dengan mengintegrasikan elemen kecerdasan buatan (AI) dalam ekosistem TVET di sekolah.
Ia merupakan satu komitmen KPM dalam memastikan agenda reformasi pendidikan negara terus diperkasa menerusi gabungan kecemerlangan akademik dan kemahiran teknikal.
Malah, langkah strategik itu memberi nilai tambah kepada usaha meningkatkan kebolehpasaran murid melalui penyediaan sijil profesional Huawei Certified ICT Associate - Artificial Intelligence (HCIA-AI) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Prakarsa TVET-AI tersebut juga selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) dan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang memberi penekanan terhadap pembangunan bakat masa hadapan, pengukuhan ekosistem TVET serta kerjasama erat antara industri dan institusi pendidikan.