Dua graduan TVETMARA Johor Bahru dinobatkan antara penerima Anugerah Graduan Cemerlang Program Sijil dan Diploma sempena Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2026 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mereka ialah Muhammad Khairul Afiq Azman bagi kategori sijil dan Muhammad Haziq Lailla Zamri (diploma) telah berjaya menampilkan prestasi cemerlang dalam pelbagai aspek termasuklah robotik, akademik, kemahiran teknikal, kepimpinan, kerohanian serta pembangunan sahsiah diri.
Muhammad Khairul Afiq yang mengikuti Program Sijil Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (SPN) dikenali sebagai pelajar berbakat besar kerana telah meraih banyak pencapaian membanggakan seperti mara ke suku akhir Robot Tempur Malaysia 2024, muncul Naib Johan Kebangsaan MJII Robofighto Competition 2024 kategori 8 kilogram dan dinobatkan Pelajar Terbaik SPN.
Selain itu, beliau turut aktif memimpin Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) TVETMARA Johor Bahru dan berkhidmat sebagai imam solat tarawih di Surau Al Hidayah, sekali gus mencerminkan keperibadian unggul yang wajar dicontohi.
Sementara itu, Muhammad Haziq yang mengikuti Program Diploma Kompetensi Elektrik Kuasa (DCP) pula membuktikan kecemerlangan boleh dicapai apabila bakat, disiplin dan kesungguhan digabungkan dengan usaha berterusan.
Beliau mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila meraih pingat perak dalam Asia Skills Competition Taipei 2025 dan gangsa di ASEAN Skills Competition Manila 2025.
Malah, kejayaannya turut diiktiraf apabila menerima Anugerah Khas Pengarah pada Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Pelajar TVETMARA Johor Bahru.
Lebih mengujakan, Muhammad Haziq bakal membawa cabaran negara ke World Skills Competition Shanghai 2026, sekali gus menjadi antara wakil Malaysia yang diharapkan mampu mengharumkan nama negara di pentas dunia.
Tidak hanya cemerlang dalam pertandingan kemahiran, beliau juga menamatkan pengajian dengan CGPA 4.0, selain aktif menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkaitan elektrik dan berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Media Pelajar TVETMARA Johor Bahru.
Dengan pencapaian membanggakan dalam bidang berkenaan, tidak keterlaluan Sinar Bestari katakan bahawa Muhammad Khairul Afiq dan Muhammad Haziq merupakan ikon generasi muda yang patut dicontohi.