Tahniah kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan.
Ketika ini, pelajar yang menerima tawaran program matrikulasi dan asasi sedang sibuk membuat persiapan pendaftaran bagi sesi 2026/2027.
Tidak lama lagi, giliran pelajar yang mendapat tempat dalam program diploma di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
Sudah tentu perasaan teruja, gembira dan berdebar-debar bercampur menjadi satu.
Ada yang bakal berjauhan buat pertama kali daripada keluarga, ada yang akan tinggal di kolej kediaman dan ada juga yang akan memulakan kehidupan baharu di negeri yang belum pernah dijejaki.
Namun, melangkah ke IPT bukan sekadar bertukar tempat belajar.
Ia adalah permulaan kepada satu perjalanan yang akan membentuk cara berfikir, kematangan diri, pengurusan masa, kewangan dan hala tuju masa depan.
Sebab itulah, selain membuat persiapan dari segi dokumen, pakaian dan keperluan harian, para pelajar juga perlu bersedia dari sudut mental dan emosi.
Hari ini, Sinar Bestari ingin berkongsi 10 pesanan yang dipetik daripada perkongsian Zul Zahar menerusi Facebook Halatuju Selepas SPM.
Jom hadam dan simpan sebagai bekalan sebelum melangkah ke kampus.
1) Kejayaan di IPT tidak semestinya berkait dengan keputusan SPM. Ada pelajar cemerlang SPM, tapi terkandas di IPT dan ada pelajar biasa-biasa SPM, cemerlang di IPT. Jangan mendongak dengan keputusan SPM yang cemerlang dan jangan rasa rendah diri dengan keputusan SPM yang biasa-biasa. Saya SPM dapat 3A, 1B, 5C tapi masa diploma belajar sungguh-sungguh sampai dinobatkan pelajar terbaik jurusan.
2) Hormat pensyarah. Kertas SPM ditanda oleh guru sekolah lain. Tapi bila di IPT, pemarkahan tugasan dan peperiksaan dinilai oleh penyarah yang mengajar kita.
3) Duduk di barisan paling hadapan dalam kelas. Semakin jauh jarak dari hadapan, semakin kurang ilmu yg akan kita dapat.
4) Berkawan dengan semua pelajar, tetapi kena tahu untuk menolak ajakan kawan-kawan yang boleh merosakkan diri.
5) Jangan sesekali keluar berdua berlainan jantina kerana akan menjerumus ke arah maksiat. Di IPT jauh dari keluarga, pergerakan bebas tapi jangan sehingga meletakkan diri dalam bahaya buaya-buaya darat.
6) Ubah mentaliti supaya berani membuat pembentangan dalam kelas. Jangan jadi pelajar yang hanya sekadar baca slide presentation tanpa buat sebarang persediaan. Mula-mula memang akan rasa janggal dan malu, hari makin hari pasti ada improvement. Beranikan diri untuk jadi ketua kumpulan pembentangan sekali sekala. Presentation inilah akan melatih pelajar untuk cemerlang dalam temu duga kerja nanti.
7) Jangan down bila ada kawan sekelas gelakkan kita waktu dalam kelas kalau kita buat apa-apa kesilapan waktu pembentangan atau bercakap dalam kelas. Sebab semua pun level-level kita ja.
8) Setiap tugasan diberikan pensyarah, buat bersungguh-sungguh, sebab markah untuk setiap subjek adalah lebih kurang 50 peratus tugasan berterusan dan 50 peratus peperiksaan bertulis akhir semester. Jadi kalau dah dapat markah tinggi untuk tugasan berterusan (assignment, kuiz, presentation dan lain-lain) akan kurangkan tekanan untuk menghadapi peperiksaan akhir.
9) Urus kewangan dengan baik. Sebab duit pinjaman/biasiswa tu akan dapat pada awal semester dan perlu digunakan untuk enam bulan seterusnya.
10) Belajar topik secara sendiri sebelum diajar dalam kelas. Buat persediaan sebelum masuk kelas. Terutama untuk subjek yang lemah. Time saya belajar saya guna kaedah ini untuk subjek Kimia sebab saya lemah Kimia.