Majlis persaraan yang penuh dengan ucapan penghargaan dan linangan air mata sepatutnya menjadi detik paling bermakna buat seorang guru selepas puluhan tahun menabur bakti kepada negara.
Fasa persaraan juga sering dianggap sebagai masa untuk berehat, beribadah dan menikmati hasil titik peluh sepanjang berkhidmat. Namun, bagi sesetengah pesara guru, impian indah itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila wang pencen dan ganjaran persaraan lesap dalam sekelip mata akibat diperdaya sindiket penipuan dalam talian atau scammer.
Isu ini bukan lagi sekadar jenayah komersial biasa, malah sudah menjadi ancaman serius dalam era kewarganegaraan digital. Lebih membimbangkan apabila golongan pendidik yang dianggap berilmu dan berpengalaman turut menjadi sasaran utama penjenayah siber.
Guru Jadi Sasaran
Penjenayah siber tidak memilih mangsa secara rawak. Mereka menyasarkan golongan tertentu yang dianggap mempunyai simpanan stabil dan mudah dipengaruhi secara psikologi.
Guru khususnya pesara guru dilihat sebagai sasaran yang menguntungkan kerana memiliki simpanan wang pencen dan ganjaran persaraan yang besar. Selain itu, sifat empati dan mudah mempercayai orang lain menjadikan sesetengah guru mudah terpedaya dengan helah penjenayah.
Sindiket scammer menggunakan teknik kejuruteraan sosial bagi memanipulasi emosi mangsa. Mereka menyamar sebagai pegawai polis, mahkamah, bank atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menimbulkan rasa takut dan panik.
Mangsa kemudian diarahkan memindahkan wang kononnya bagi tujuan siasatan atau keselamatan akaun.
Dalam keadaan cemas, ramai mangsa gagal berfikir secara rasional sebelum menyerahkan wang simpanan mereka.
Modus Operandi Semakin Licik
Menurut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerugian akibat penipuan dalam talian terus meningkat saban tahun. Antara modus operandi paling popular ialah Macau Scam yang menggunakan panggilan telefon palsu untuk memperdaya mangsa.
Sindiket biasanya mendakwa mangsa terlibat dalam jenayah seperti pengubahan wang haram atau penyeludupan dadah. Penjenayah kemudian menghantar dokumen palsu melalui aplikasi WhatsApp bagi meyakinkan mangsa.
Tidak cukup dengan itu, terdapat juga taktik phishing iaitu penghantaran pautan palsu menyerupai portal bank atau laman rasmi kerajaan. Mangsa yang terpedaya dan memasukkan maklumat perbankan akan kehilangan wang dalam tempoh yang singkat.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) turut digunakan bagi menghasilkan suara dan identiti palsu yang kelihatan sangat meyakinkan.
Literasi Digital Perlu Diperkasa
Kes penipuan ini menunjukkan bahawa literasi digital masyarakat masih berada pada tahap yang membimbangkan. Ramai pengguna masih belum memahami aspek keselamatan siber walaupun aktif menggunakan teknologi setiap hari.
Hakikatnya, menjadi celik digital bukan sekadar pandai menggunakan telefon pintar atau aplikasi media sosial. Pengguna juga perlu mempunyai kemampuan berfikir secara kritis dan berhati-hati terhadap setiap maklumat yang diterima.
Masyarakat perlu memahami bahawa pihak bank, polis atau mana-mana agensi kerajaan tidak akan meminta maklumat perbankan atau mengarahkan pemindahan wang melalui panggilan telefon.
Dalam dunia digital hari ini, sikap terlalu percaya boleh membawa padah.
Trauma Emosi Mangsa
Kesan penipuan bukan hanya melibatkan kerugian wang semata-mata. Ramai mangsa mengalami tekanan emosi, kemurungan dan hilang keyakinan diri selepas ditipu. Bagi seorang guru, kehilangan wang hasil titik peluh selama puluhan tahun memberi kesan yang sangat mendalam.
Ada mangsa yang malu untuk berkongsi masalah dengan keluarga kerana merasakan diri gagal membuat pertimbangan yang baik.
Lebih menyedihkan apabila wang yang hilang itu sebenarnya disimpan untuk kos rawatan, perbelanjaan hari tua atau membantu anak-anak dan cucu.
Akibatnya, ada pesara terpaksa kembali bekerja demi meneruskan kehidupan selepas wang simpanan mereka habis diperdaya scammer.
Benteng Pertahanan Diri
Bagi mengelakkan menjadi mangsa, masyarakat perlu mengamalkan sikap sentiasa berwaspada ketika berurusan dalam talian. Amalan “Sekat, Semak dan Sahkan” perlu dijadikan budaya dalam kehidupan digital.
Jangan mudah panik apabila menerima panggilan berunsur ugutan atau tawaran yang terlalu lumayan. Selain itu, orang ramai digalakkan menggunakan aplikasi semakan nombor telefon dan portal.
Semak Mule bagi mengenal pasti akaun atau nombor telefon yang pernah dikaitkan dengan penipuan. Sekiranya menjadi mangsa, tindakan pantas sangat penting.
Mangsa perlu segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 bagi meningkatkan peluang menyekat transaksi penipuan.
Kesimpulan
Era digital membawa pelbagai kemudahan kepada masyarakat, namun pada masa sama membuka ruang kepada jenayah siber yang semakin licik dan berbahaya.
Golongan guru sebagai pendidik masyarakat perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan tentang keselamatan digital agar tidak mudah terpedaya dengan taktik scammer.
Jangan biarkan hasil penat lelah selama puluhan tahun hilang hanya kerana satu panggilan telefon.
Dalam dunia digital hari ini, ilmu dan kewaspadaan merupakan benteng pertahanan paling ampuh untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Maklumat penulis:
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP), Kementerian Pendidikan Malaysia, Norshah Rozaifah Mohammad,