Kemahiran membaca merupakan asas penting dalam perkembangan literasi awal kanak-kanak. Namun begitu, terdapat segelintir murid yang masih menghadapi kesukaran untuk mengenal huruf, membunyikan suku kata serta membina perkataan Konsonan Vokal (KVKV) dengan betul. Situasi ini boleh menyebabkan murid hilang minat dan kurang memberi tumpuan semasa sesi pembelajaran Bahasa Melayu dijalankan.
Menyedari cabaran tersebut, saya telah menghasilkan satu inovasi bahan bantu mengajar yang dikenali sebagai Smart Bell KVKV. Inovasi ini dibangunkan khusus untuk membantu murid menguasai kemahiran membina dan membaca perkataan KVKV melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan, interaktif dan berpusatkan murid.
Smart Bell KVKV menggabungkan penggunaan kad gambar, kad perkataan, kiub huruf dan loceng meja dalam satu set permainan pendidikan. Murid perlu mengenal pasti gambar yang dipaparkan, memilih huruf yang sesuai untuk membina perkataan KVKV dan menekan loceng sebagai tanda jawapan telah siap. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan fokus murid, malah mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih aktif dan menyeronokkan.
Antara keistimewaan Smart Bell KVKV ialah kos penyediaannya yang rendah serta penggunaan bahan yang mudah diperoleh. Inovasi ini dibangunkan menggunakan kotak kadbod terpakai, loceng meja, kiub huruf, kad gambar dan beberapa bahan asas lain dengan jumlah kos sekitar RM17 sahaja. Walaupun ringkas, bahan ini mampu memberi impak yang besar terhadap penguasaan kemahiran membaca murid.
Penggunaan Smart Bell KVKV juga membantu meningkatkan keyakinan diri murid untuk mencuba, berfikir dan menyelesaikan tugasan secara kendiri. Elemen permainan yang diterapkan berjaya menarik minat murid untuk belajar sambil bermain, sekali gus mengurangkan rasa bosan dalam sesi pembelajaran tradisional.
Selain sesuai digunakan di tadika dan prasekolah, inovasi ini juga berpotensi untuk diperluaskan penggunaannya di kelas pendidikan khas serta program intervensi literasi awal. Dengan sedikit pengubahsuaian, Smart Bell KVKV boleh digunakan untuk pelbagai kemahiran bahasa yang lain.
Sesungguhnya, inovasi tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi atau teknologi yang canggih. Melalui kreativiti dan kesungguhan seorang pendidik, bahan yang mudah mampu menghasilkan pengalaman pembelajaran yang bermakna serta membantu murid mencapai potensi mereka dengan lebih berkesan.
Smart Bell KVKV membuktikan bahawa pembelajaran yang menyeronokkan mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan literasi awal kanak-kanak.
Maklumat penulis:
Guru Tadika Khalifah Utama, Dungun, Terengganu, Wan Nurul Adibah Wan Ahmad (Teacher Diba)
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my