Inisiatif biasiswa dan sumbangan bernilai RM500,000 diharap menggalakkan lebih ramai pelajar memilih Tingkatan Enam sebagai laluan ke menara gading.
Usaha memperkasa akses kepada pendidikan berkualiti terus menjadi agenda utama negara selaras Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (PSKPM) 2024-2030 yang menekankan peluang pendidikan untuk semua pelajar tanpa mengira latar belakang mahupun lokaliti.
Menyokong aspirasi itu, Management and Science University (MSU) menerusi Yayasan MSU (YM) tampil menghargai kecemerlangan pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 menerusi sumbangan dan tajaan pendidikan keseluruhan bernilai RM500,000.
Sebagai sebahagian inisiatif itu, sebanyak RM60,000 disumbangkan kepada enam Kolej Tingkatan Enam dan enam Pusat Tingkatan Enam Mod 2 dan Mod 3 Terbaik Kebangsaan STPM 2025. Setiap institusi menerima sumbangan tunai sebanyak RM5,000.
MSU menawarkan biasiswa bernilai RM15,000 kepada calon dari Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 yang melanjutkan pengajian ke universiti itu bagi Ijazah Sarjana Muda.
Pengiktirafan istimewa turut diberikan kepada Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi Kategori Orang Asli, Hazaril Hakimi Hassan dari SMK Temerloh, Pahang yang memperoleh keputusan cemerlang 4A dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.
Beliau menerima sumbangan tunai RM1,000 berserta biasiswa penuh Yayasan MSU sebagai penghargaan kejayaannya. Inisiatif itu buat julung kalinya bagi kohort STPM 2025, bertujuan menarik lebih ramai pelajar memilih Tingkatan Enam sebagai laluan prauniversiti.
Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2025, Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warga Asing (SKBMW) disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Pengerusi Majlis Peperiksaan merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad serta Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid.