Seorang pemandu bas cedera di kepala manakala 32 pelajar kolej terselamat apabila kenderaan dinaiki terbabas dalam kejadian kira-kira 7.35 pagi pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, pemandu bas, berusia 40-an telah dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, kesemua 32 pelajar dari sebuah kolej kemahiran di Kulim Hi Tech Park (KHTP), Kedah dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
"Mangsa pemandu bas mengalami kecederaan di kepala dan telah dibawa ke hospital, manakala semua pelajar tidak mengalami kecederaan telah dihantar ke kolej menggunakan van," katanya.
Beliau berkata, kemalangan berlaku di jalan Lebuh KTC dari Taman KTC1 menghala ke KHTP di mana bas dipercayai terbabas sendiri.
Menurutnya, akibat kejadian, bas terbabit telah memasuki laluan bertentangan.
Syamsul berkata, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kejadian.