Otak manusia merupakan organ yang sangat kompleks dan berfungsi melalui pelbagai tindak balas. Setiap pemikiran, emosi dan tingkah laku dipengaruhi oleh bahan kimia yang dikenali sebagai neurotransmiter.
Bagaimana Neurotransmiter mempengaruhi kehidupan manusia?
Neurotransmiter ialah bahan kimia dalam otak yang berfungsi menghantar mesej atau isyarat antara sel saraf. Bahan ini membantu mengawal emosi, pemikiran, ingatan, pembelajaran dan pergerakan tubuh.
Semua aktiviti yang kita lakukan setiap hari ada hubung kait dengan neurotransmiter. Ini dapat dibuktikan kerana, setiap apa sahaja keputusan yang kita buat dan ambil dalam seharian adalah disebabkan oleh kita berfikir secara baik menggunakan otak dan akal fikiran yang sihat.
Menurut kajian sains, tabiat harian yang dilakukan secara konsisten mampu mengubah struktur dan fungsi otak melalui proses yang dikenali sebagai neuroplastisiti.
Andakah anda tahu apa itu Neuroplastisiti?
Neuroplastisiti boleh ditakrifkan sebagai keupayaan otak untuk berubah, membentuk semula dan menyusun semula strukturnya bagi membolehkan seseorang menyesuaikan diri dengan situasi baharu dengan lebih baik. Walaupun konsep neuroplastisiti masih dianggap baharu, ia merupakan salah satu penemuan paling penting dalam bidang Neurosains.
Hakikatnya, rangkaian saraf dalam otak tidak bersifat tetap. Sebaliknya, ia sentiasa terbentuk dan hilang secara dinamik sepanjang hayat seseorang bergantung pada pengalaman yang dilalui.
Apabila kita berulang kali melakukan sesuatu aktiviti seperti menghafal formula matematik atau mempraktikkan satu siri pergerakan tertentu, litar neuron akan terbentuk dan diperkukuhkan. Keadaan ini membolehkan tugas tersebut dilakukan dengan lebih cekap serta menggunakan tenaga yang lebih sedikit.
Namun, apabila sesuatu aktiviti tidak lagi diamalkan, otak akan mengalihkan atau menghapuskan litar neuron tersebut berdasarkan prinsip yang dikenali sebagai 'gunakannya atau kehilangannya' (use it or lose it).
Neuroplastisiti membawa kepada pelbagai perubahan dalam fungsi otak, termasuk proses pembiasaan (habituation), peningkatan sensitiviti terhadap rangsangan tertentu, toleransi terhadap ubat-ubatan, malah membantu proses pemulihan selepas kecederaan otak.
Beberapa amalan mudah yang sering dianggap remeh sebenarnya mempunyai kesan terhadap penghasilan bahan kimia dalam otak.
Oleh itu, artikel ini membincangkan lapan amalan harian yang boleh mebantu meningkatkan fokus, emosi dan prestasi diri berdasarkan perspektif sains dan kimia.
Antara tabiat yang boleh dilakukan:
1) Mengunyah gula gula getah ketika belajar
- Mengunyah gula gula getah ketika belajar dapat membantu meningkatkan tumpuan dan mengurangkan tekanan. Aktiviti ini merangsang aliran darah ke otak serta meningkatkan penghantran oksigen kepada sel sel saraf. Dari sudut kimia, rangsangan ini membantu penghasilan neurotransmitter seperti dopamine yang berkaitan dengan fokus dan motivasi.
2) Memberus gigi menggunakan tangan yang tidak dominan
- Menggunakan tangan yang jarang digunakan untuk melakukan aktiviti harian memaksa otak bekerja dengan cara yang berbeza. Aktiviti ini merangsang pembentukan laluan saraf baharu dan meningkatkan neuroplastisiti. Dari perspektif kimia, lebih banyak komunikasi berlaku antara neuron melalui neurotransmiter seperti asetilkolina yang penting untuk pembelajaran dan memori.
3) Memberi nama kepada suara dalaman
- Suara dalaman sering mempengaruhi cara seseorang berfikir dan bertindak. Dengan memberi identiti atau nama kepada suara tersebut, seseorang dapat membezakan antara pemikiran rasional dan emosi. Teknik ini membantu mengawal tekanan serta mengurangkan penghasilan hormon kortisol yang berlebihan. Kortisol yang terlalu tinggi boleh menjejaskan tumpuan dan kesihatan mental.
4) Menggunakan wanigan yang sama ketika belajar
- Deria bau mempunyai hubungan langsung dengan sistem limbik dalam otak yang mengawal memori dan emosi. Menggunakan wangian yang sama ketika belajar boleh mewujudkan hubungan antara bau dan maklumat yang dipelajari. Apabila bau tersebut dihidu semula, otak lebih mudah mengingati maklumat berkaitan. Proses ini melibatkan tindak balas kimia antara molekul bau dan reseptor olfaktori dalam hidung.
5) Memilih kandungan digital secara bijak
- Setiap kandungan yang dilihat di media sosial memberi kesan kepada otak. Kandungan yang bermanfaat boleh merangsang pemikiran positif dan pembelajaran, manakala kandungan negatif boleh meningkatkan tekanan serta ketagihan. Fenomena ini berkait rapat dengan dopamin iaitu bahan kimia yang menghasilkan rasa seronok dan ganjaran dalam otak.
6) Makan sebelum melakukan aktiviti penting
- Pemakanan yang seimbang sebelum melakukan aktiviti penting membekalkan glukosa yang diperlukan oleh otak sebagai sumber tenaga utama. Paras glukosa yang mencukupi membantu penghasilan neurotransmiter yang berkaitan dengan fokus dan motivasi. Selain itu, amalan pemakanan yang baik turut membantu mengekalkan kestabilan hormon dan emosi.
7) Menulis menggunakan tangan yang tidak dominan selama 21 hari
- Menulis menggunakan tangan yang tidak dominan memerlukan koordinasi dan tumpuan yang lebih tinggi. Aktiviti ini mengaktifkan bahagian otak yang jarang digunakan dan membantu membentuk sambungan saraf baharu. Secara tidak langsung, proses ini meningkatkan fleksibiliti mental serta keupayaan otak untuk menyesuaikan diri dengan cabaran baharu.
8) Berjalan tanpa kasut di atas rumput atau pasir
- Berjalan di kawasan semula jadi membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan ketenangan emosi. Aktiviti ini boleh merangsang penghasilan serotonin iaitu neurotransmiter yang berkaitan dengan kebahagiaan dan kesejahteraan mental. Walaupun terdapat pelbagai pandangan mengenai manfaat grounding, aktiviti di alam semula jadi sememangnya terbukti membantu mengurangkan tekanan psikologi.
- Tabiat tabiat ini akan memberi impak yang positif dan manfaat dalam kehidupan seharian manusia sekiranya dilakukan secara konsisten.
Kebaikan dan manfaat kepada diri
1) Meningkatkan fokus, membantu daya ingatan dan mengurangkan tekanan semasa belajar.
2) Membantu mengawal emosi, mengurangkan overthingking dan meningkatkan keyakinan diri.
3) Melatih koordinasi otak, meningkatkan fleksibiliti mental dan merangsang neuroplastisiti.
4) Membantu menguatkan memori dan memudahkan proses mengingat maklumat.
5) Membekalkan tenaga kepada otak, meningkatkan tumpuan dan mengelakkan keletihan mental.
6) Meningkatkan pemikiran positif, mengurangkan gangguan dan membantu perkembangan diri.
7) Mengurangkan tekanan, meningkatkan ketenangan dan memperbaiki mood.
8) Menggalakkan pembentukan sambungan saraf baharu serta meningkatkan kreativiti dan fokus.
Kesimpulannya, walaupun tabiat tabiat ini kelihatan kecil dan sederhana, amalan yang dilakukan secara berterusan mampu memberi kesan positif kepada fungsi otak. Dari perspektif kimia, setiap aktiviti merangsang penghasilan bahan kimia tertentu seperti dopamin, serotonin dan asetilkolina yang memainkan peranan penting dalam pembelajaran, emosi dan tingkah laku manusia. Oleh itu, perubahan kecil dalam rutin harian boleh menjadi langkah pertama kearah kehidupan yang lebih sihat, produktif dan seimbang.
Maklumat penulis:
1) Pelajar Perakaunan Tahun 2, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Haziqah Syahmi Ishak
2) Pensyarah Kursus Kimia dan Masyarakat, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, UMT, Norliawati Mohd Sidek (Penyelia)
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my