Selepas mendengar kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh bahawa hanya 73,386 permohonan diterima bagi kemasukan Tahun Satu pada usia enam tahun berbanding unjuran asal sekitar 400,000 murid, saya tidak begitu terkejut.
Perbezaan ketara antara unjuran dan jumlah sebenar ini turut memberi kesan langsung kepada perancangan sumber manusia dalam sektor pendidikan, termasuk pelarasan pengambilan guru baharu apabila keperluan semasa tidak lagi seperti yang dijangka. Dalam konteks ini, peluang graduan pendidikan untuk memasuki profesion perguruan turut terkesan.
Bagi saya, perkembangan ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba. Berdasarkan pemerhatian di beberapa negara maju seperti Jerman, United Kingdom, Finland dan Jepun, pelaksanaan dasar kemasukan Tahun Satu pada usia enam tahun sememangnya berpotensi berdepan cabaran dari sudut penerimaan ibu bapa.
Sebagai ibu bapa yang mempunyai anak yang bakal memasuki alam persekolahan pada tahun 2027, saya memahami kebimbangan yang dirasai oleh ramai ibu bapa. Kebimbangan utama mereka bukan semata-mata soal usia, tetapi sama ada anak-anak benar-benar bersedia untuk memasuki Tahun Satu. Ramai bimbang anak mereka akan dianggap 'tercicir' sekiranya masih belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) atau belum mampu mengurus diri dengan baik.
Kebimbangan ini menjadi lebih ketara apabila terdapat sekolah yang mengadakan sesi taklimat kepada ibu bapa dengan penekanan bahawa murid perlu sudah boleh membaca, menulis, mengira dan mengurus diri sebelum memulakan persekolahan. Walaupun mungkin bertujuan memberi gambaran realiti pembelajaran, mesej yang diterima oleh ibu bapa sering kali ialah anak perlu 'siap' sebelum memasuki sekolah. Natijahnya, sebahagian ibu bapa memilih untuk menangguhkan pendaftaran anak.
Di sinilah timbul persoalan asas: adakah murid perlu bersedia untuk sekolah, atau sekolah perlu bersedia menerima murid?
Dalam banyak sistem pendidikan berprestasi tinggi seperti Finland, United Kingdom, Jerman dan Jepun, kanak-kanak tidak diwajibkan menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira sebelum memasuki sekolah rendah. Sekolah menerima murid dengan pelbagai tahap perkembangan dan menyediakan sokongan pembelajaran secara berperingkat untuk membantu mereka berkembang.
Dengan kata lain, sekolah dibina atas andaian bahawa murid hadir untuk belajar, bukannya datang setelah selesai belajar.
Hakikatnya, sekolah sepatutnya menjadi tempat kanak-kanak membina kemahiran asas tersebut, bukannya institusi yang hanya menerima kanak-kanak yang telah menguasainya. Jika penguasaan kemahiran asas dijadikan syarat tidak rasmi sebelum memasuki Tahun Satu, maka fungsi asas sekolah sebagai institusi pendidikan wajar dinilai semula. Lebih membimbangkan, keadaan ini boleh mewujudkan halangan kepada sebahagian kanak-kanak yang berada pada tahap perkembangan berbeza, sedangkan pendidikan seharusnya bersifat inklusif dan boleh diakses oleh semua.
Sebaliknya, dalam banyak sistem pendidikan di negara maju, kanak-kanak yang belum bersedia atau masih lemah dari segi asas inilah yang menjadi fokus utama intervensi sekolah. Sekolah bersedia menerima murid dalam pelbagai tahap keupayaan, dan bertanggungjawab membimbing mereka menguasai literasi dan numerasi secara berperingkat.
Namun, ini tidak bermaksud kanak-kanak di negara tersebut tidak didedahkan kepada literasi dan numerasi sebelum Tahun Satu. Pendedahan awal tetap berlaku melalui pendekatan bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak seperti bercerita, membaca buku bergambar, bermain, menyanyi, aktiviti motor halus dan permainan berasaskan nombor. Fokusnya ialah membina minat terhadap pembelajaran serta perkembangan kognitif dan sosial yang seimbang.
Menariknya, walaupun kemahiran 3M diajar secara formal pada usia yang lebih lewat, negara-negara tersebut secara konsisten mencatatkan pencapaian lebih baik dalam penilaian antarabangsa seperti PISA dan TIMSS berbanding banyak negara yang memperkenalkan pembelajaran akademik lebih awal.
Persoalannya, jika kita antara negara yang begitu awal menekankan penguasaan 3M, mengapa pencapaian kita masih belum setanding dengan mereka?
Daripada pemerhatian saya, terdapat satu aspek penting yang sering dipandang ringan, iaitu pembangunan kemahiran mengurus diri dan berdikari.
Di prasekolah negara-negara maju, kanak-kanak dilatih secara sistematik untuk berdikari. Seawal usia tiga tahun, mereka belajar makan sendiri, memakai pakaian dan kasut sendiri, menggunakan tandas tanpa bantuan, mengemas peralatan selepas digunakan, menyimpan barang di tempat yang betul, menjaga kebersihan diri, serta mematuhi rutin harian dan melaksanakan tugasan mudah dengan tanggungjawab.
Latihan ini berlangsung berterusan antara usia tiga hingga lima tahun. Apabila memasuki sekolah rendah pada usia enam tahun, sebahagian besar kemahiran pengurusan diri telah pun kukuh, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran.
Apabila kanak-kanak mampu berdikari, mereka lebih bersedia untuk mendengar arahan, mengurus masa, memberi tumpuan dan berinteraksi secara positif dalam persekitaran pembelajaran. Inilah asas yang memudahkan penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira pada peringkat seterusnya.
Sebaliknya, di Malaysia masih terdapat sebahagian kanak-kanak yang memasuki Tahun Satu tanpa kemahiran pengurusan diri yang mencukupi. Ada yang masih memerlukan bantuan untuk kebersihan diri, pengurusan barang atau rutin harian. Keadaan ini menyebabkan guru perlu membahagikan perhatian antara pengajaran akademik dan keperluan asas murid.
Justeru, saya tidak melihat penurunan pendaftaran Tahun Satu pada usia enam tahun sebagai isu yang berpunca semata-mata daripada kurangnya promosi atau kesedaran ibu bapa. Pada pandangan saya, isu yang lebih mendasar ialah persepsi masyarakat bahawa anak perlu benar-benar bersedia sebelum memasuki sekolah.
Sedangkan dalam banyak sistem pendidikan yang berjaya, sekolah itulah yang dipersiapkan untuk menerima murid dengan pelbagai tahap perkembangan dan kebolehan.
Mungkin sudah tiba masanya kita menilai semula falsafah pendidikan awal negara. Adakah kita mahu membina sistem yang menunggu murid bersedia untuk sekolah, atau sistem sekolah yang benar-benar bersedia untuk setiap murid yang datang belajar?
Maklumat penulis:
Pensyarah, Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohd Aliff Mohd Nawi.
Beliau kini sedang melanjutkan pengajian peringkat pascakedoktoran di Zentrum für Islamische Theologie serta Hector Research Institute of Education Sciences and Psychology, Eberhard Karls Universität Tübingen, di Tübingen, Jerman
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my