Enam pelajar Tingkatan Lima sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Johor yang disyaki terbabit dalam kes buli bakal disingkirkan daripada institusi itu jika didapati bersalah.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau kesal dan kecewa apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu yang hanya diketahui selepas ibu bapa mangsa membuat hantaran di media sosial kerana anak mereka memohon keluar dari MRSM akibat tidak lagi mampu menanggung penderitaan dibuli.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat diterima, perbuatan itu disyaki membabitkan enam pelajar Tingkatan Lima, manakala ibu bapa mangsa turut membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Saya dimaklumkan keenam-enam pelajar terbabit telah ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan.
"Sejurus menerima laporan ini, saya mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah Mara (BPM) dan pihak pentadbiran MRSM mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) dalam tempoh 24 jam bagi menjalankan siasatan serta mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pelajar yang didapati terbabit.
"Jika terbukti bersalah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Asyraf Wajdi berkata, Mara sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk buli atau tindakan pelajar senior yang mengambil tindakan sendiri atas alasan mahu 'mendisiplinkan' pelajar junior.
Beliau sekali lagi menegaskan pendirian Mara dengan slogan 'You Touch, You Go' yang membawa maksud mana-mana pelajar yang terbukti melakukan perbuatan buli tidak lagi mempunyai tempat di MRSM.
Pada masa sama, beliau menggesa semua pelajar MRSM supaya tidak takut melaporkan sebarang kejadian buli kepada guru, warden atau pihak pentadbiran agar tindakan segera dapat diambil.
"Saya juga ingin memberi amaran bahawa sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba menyembunyikan atau melindungi perbuatan buli ini, Mara tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.
"Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli di MRSM," tambahnya.