Warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera akan mula melaporkan diri di lapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) terpilih termasuk MRSM Muar bermula 1 Julai.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelaksanaan itu merupakan fasa kedua program penempatan warden sepenuh masa bekas tentera yang akan diperluaskan ke semua 58 MRSM secara berperingkat.
Menurutnya, bagi fasa pertama, seramai 16 warden lelaki akan memulakan tugas pada 1 Julai, membabitkan lapan MRSM dengan setiap institusi bakal menerima empat warden sepenuh masa terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita.
"1 Julai Rabu ini, warden-warden sepenuh masa bekas tentera mula melaporkan diri di lapan MRSM terpilih termasuk MRSM Muar.
"Diharapkan selepas ini tiada lagi kedengaran kes-kes buli selain dapat meningkatkan tahap disiplin pelajar," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Beliau berkata, proses pemilihan warden dilaksanakan secara bersama oleh anak syarikat Mara Glokal Link Sdn Bhd (GLSB) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah Mara, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), TalentCorp serta Seksyen Psikologi dan Kaunseling Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurutnya, seramai 147 calon menghadiri sesi temu duga fizikal yang diadakan pada 15 dan 16 Jun lalu di Institut Kemahiran Tinggi Mara (INTEM), Kepong selepas melepasi tapisan awal dan tapisan kedua.
Katanya, pemilihan bukan hanya berdasarkan temu duga fizikal, sebaliknya calon turut menjalani ujian psikometrik, ujian psikologi ketenteraan, saringan kesihatan mental, pemeriksaan indeks jisim badan (BMI), bleep test serta temu duga bersemuka oleh panel pelbagai agensi.
"Komponen penilaian psikologi turut memberi penekanan kepada aspek perlindungan kanak-kanak, kawalan impuls, batas profesional, integriti dan indikator risiko salah laku seksual.
"Tiada surat tawaran atau lantikan akan dikeluarkan selagi semua tapisan penting belum disempurnakan, hanya calon yang benar-benar layak, bersih, berintegriti dan sesuai menjaga pelajar MRSM akan dipertimbangkan," katanya.
Tambah beliau, sebelum pelantikan dimuktamadkan, semua calon turut menjalani semakan status veteran ATM, rekod jenayah, Daftar Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), rekod disiplin serta penilaian akhir bersama pegawai psikologi dan kaunselor ATM.
Dalam pada itu, Asyraf berkata, bagi pengambilan warden wanita, seramai 162 calon telah memohon dengan ujian dalam talian diadakan pada 25 Jun, manakala temu duga fizikal dijadual berlangsung pada 2 Julai.
Jelasnya, pelantikan warden wanita akan dibuat selepas semua proses tapisan yang sama selesai dilaksanakan.
Program penempatan warden sepenuh masa bekas tentera bermula sebagai projek rintis di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau pada 18 Oktober tahun lalu sebelum diperluaskan ke lapan lagi MRSM bermula 1 Julai ini, manakala pelaksanaan di semua 58 MRSM dijadual bermula pada 1 Januari 2027.