Universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah menjadi ruang mahasiswa mencipta impak kepada masyarakat.
Itulah yang dibuktikan sekumpulan pelajar Diploma Sains Komputer dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) apabila turun padang membantu murid sekolah rendah luar bandar menguasai matematik menerusi pendekatan digital dan pembelajaran berasaskan permainan.
Program dikenali sebagai MATHisFUN itu membuktikan bahawa matematik tidak semestinya sukar, malah boleh dipelajari dalam suasana menyeronokkan.
Lebih membanggakan, inisiatif itu mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila disokong Geran Sumbangan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) pada 2025 sebelum diteruskan melalui Geran Collaboration and Engagement (C&E) IEEE Systems, Man and Cybernetics Society (IEEE SMC) pada tahun ini.
Program yang diketuai Ketua Penyelidik, Program Matematik Interaktif FTMK UTeM, Ts Dr Zuraini Othman itu, bermula dengan melibatkan 110 murid Sekolah Kebangsaan Menggong, Alor Gajah termasuk komuniti Orang Asli daripada Suku Temuan dan Semelai.
Ketika itu, seramai 24 pelajar Diploma Sains Komputer berperanan sebagai fasilitator yang membimbing murid melalui aktiviti interaktif, permainan matematik serta modul digital yang dibangunkan khas mengikut tahap pembelajaran mereka.
Menariknya, pembelajaran tidak hanya berlangsung dalam bilik darjah. Murid turut mengikuti aktiviti Explorace Matematik sebelum berpeluang menjejakkan kaki ke kampus UTeM bagi menggunakan platform digital UCREDS Math is FUN, lengkap dengan video pembelajaran, kuiz interaktif serta sistem ganjaran berbentuk lencana dan trofi digital.
Kesemua 25 murid Tahun Satu yang mengikuti program itu berjaya memperoleh markah penuh dalam ujian selepas program, manakala majoriti murid mengakui mereka lebih seronok belajar matematik secara berkumpulan dan melalui aktiviti berasaskan permainan.
Kejayaan itu membuka lembaran baharu pada tahun 2026 apabila program diperluaskan dengan penglibatan lebih ramai mahasiswa.
Seramai 240 pelajar Diploma Sains Komputer Tahun Satu membangunkan sendiri modul digital MATHisFUN menerusi kursus DITI1263 Kalkulus dan Aljabar sebelum membimbing 150 murid Tahap Dua dari SK Menggong dan SK Seri Machap di kampus UTeM.
Pendekatan ini turut dilaksanakan menerusi konsep Service-Learning Malaysia, University for Society (SULAM) yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat kepada komuniti.
Selain di sekolah, modul MATHisFUN turut diperkenalkan kepada masyarakat melalui Karnival Pendidikan Murid Orang Asli Peringkat Negeri Melaka dan Karnival TeSS STEMNEXUS @ NECaST 2026 di SMK Tebong.
Dikendalikan Kelab MySTEM Ambassador UTeM bersama pelajar dan alumni Diploma Sains Komputer, reruai interaktif berkenaan berjaya menarik lebih 150 pengunjung pelbagai kaum dan peringkat umur menerusi permainan matematik, demonstrasi platform digital serta aktiviti mencabar minda.
Menurut Zuraini, program ini membuktikan bahawa pembelajaran matematik mampu menjadi lebih menarik apabila digabungkan dengan teknologi, kreativiti dan semangat kesukarelawanan mahasiswa.
Pada masa sama, inisiatif berkenaan memperlihatkan bagaimana mahasiswa bukan sahaja memperoleh pengalaman akademik, malah membina kemahiran kepimpinan, komunikasi dan penyelesaian masalah ketika berinteraksi secara langsung dengan komuniti.
Bagi UTeM, MATHisFUN menjadi contoh bahawa kepakaran teknologi boleh dimanfaatkan untuk memperkasakan pendidikan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada murid luar bandar menikmati pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan serta berkualiti.