Kes pelajar ditikam: JPN Selangor ziarah, santuni mangsa dan keluarga

Iklan
Kunjungan ziarah berkenaan diketuai Pengarah JPN Selangor (kanan) di Hospital Banting.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor menyantuni keluarga dan pelajar perempuan yang cedera ditikam di sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat.

JPN Selangor menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan kunjungan ziarah berkenaan diketuai Pengarahnya, Wan Nor Ashikin Abu Kassim di Hospital Banting. 

Iklan
Iklan

"Beliau (Wan Nor Ashikin) berkesempatan menziarah pelajar itu yang sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

"Dalam lawatan itu, beliau turut meluangkan masa menyantuni ibu bapa pelajar tersebut bagi menzahirkan rasa prihatin dan memberi kata-kata semangat dan sokongan kepada mereka," maklum hantaran itu.

Iklan

Menurut JPN Selangor, pihaknya sentiasa mendoakan kesembuhan segera pelajar dan komited memberi kerjasama kepada keluarga, hospital dan semua agensi terlibat.

"Semoga pelajar itu diberikan kesembuhan yang sempurna dan dipermudahkan segala urusan," menurut hantaran tersebut.

Iklan

Terdahulu, suspek kes tikam seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Banting direman empat hari bermula Selasa. 

JPN Selangor dalam kenyataan memaklumkan suspek yang dipercayai menikam pelajar perempuan telah ditahan pihak polis manakala pelajar yang cedera sedang diberikan rawatan di Hospital Banting.

Bapanya ketika ditemui memaklumkan anaknya berusia 15 tahun cedera di bahagian paru-paru selain turut mengalami 16 luka tikaman.- Bernama