Tarikh permohonan ke Sekolah Khusus dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi 2027 semakin hampir.
Menerusi perkongsian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Facebook, permohonan kemasukan ke Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat akan dibuka mulai 10 Julai hingga 14 Ogos 2026.
Bagi calon yang berminat, Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) untuk kemasukan Tingkatan Empat dijadualkan berlangsung pada 21 September hingga 1 Oktober 2026, manakala PKSK Tingkatan Satu pula akan diadakan pada 12 hingga 22 Oktober 2026.
Namun hakikatnya, bukan mudah untuk menempatkan diri ke sekolah-sekolah berprestij seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi Sekolah Khusus dan MRSM.
Menurut angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, persaingan untuk memasuki institusi berkenaan sangat sengit kerana calon yang memohon terdiri daripada pelajar-pelajar terbaik dari seluruh negara.
"Anak-anak semua bijak-bijak belaka. Hanya yang terbaik akan terpilih.
"Walaupun anak menerima Anugerah Cemerlang di sekolah, tidak semestinya mereka akan mendapat tempat. Ibu bapa pun kadang-kadang pening memikirkan persaingan yang begitu tinggi," katanya menerusi hantaran di Instagram.
Beliau yang juga Felo di Universiti Kebangsaan Malaysia bagaimanapun berkata, peluang untuk berjaya masih terbuka sekiranya ibu bapa dan pelajar mengetahui strategi yang betul sejak awal.
Menurutnya, antara perkara paling penting yang perlu diberi perhatian ialah Tahap Penguasaan (TP) dalam setiap mata pelajaran.
Katanya, sistem penilaian antara sekolah mungkin berbeza dan terdapat situasi di mana murid memperoleh markah tinggi tetapi tidak mencapai tahap penguasaan yang diharapkan.
"Kadang-kadang skor 95 peratus tetapi hanya mendapat TP4.
"Jadi untuk mendapatkan TP6, murid perlu menunjukkan prestasi yang konsisten terutama dalam Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
"Pastikan sekurang-kurangnya mencapai TP5 bagi setiap subjek dan usaha ini perlu bermula seawal Tahun Lima lagi," katanya.
Kokurikulum jangan dipandang ringan
Selain pencapaian akademik, penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum turut menjadi nilai tambah yang penting.
Dr Sheikh Muszaphar berkata, murid digalakkan menyertai pertandingan atau aktiviti yang diminati sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.
"Aktif dalam kokurikulum antara tip mudah ke SBP dan MRSM. Kalau boleh, sertailah sehingga peringkat kebangsaan.
"Tidak susah sebenarnya. Cari pertandingan yang sesuai dengan minat dan bakat anak," ujarnya.
Tambah beliau lagi, PKSK merupakan komponen paling penting dalam proses pemilihan kerana menyumbang peratusan tertinggi dalam penilaian kemasukan.
"PKSK merangkumi sekitar 70 peratus penilaian. Jadi calon perlu benar-benar bersedia.
"Murid perlu mahir menjawab soalan berkaitan subjek teras serta soalan insaniah yang menyentuh aspek kehidupan di asrama.
"Perbanyakkan latihan dan biasakan diri dengan format soalan PKSK. Jika berkemampuan, boleh mengikuti kelas tambahan atau tuisyen sebagai persediaan," katanya.
Strategi memilih sekolah
Dalam pada itu, bapa kepada tujuh cahaya mata tersebut turut berkongsi panduan ketika membuat pilihan sekolah secara dalam talian.
Menurutnya, ibu bapa perlu merancang pilihan dengan bijak berdasarkan kemampuan dan pencapaian anak masing-masing.
"Pilihan pertama boleh diisi dengan sekolah yang menjadi sasaran utama atau kategori sekolah elit.
"Bagi pilihan kedua dan ketiga, pertimbangkan sekolah lain yang mempunyai persaingan sedikit berbeza.
"Namun jika anak mempunyai rekod pencapaian yang sangat baik dan konsisten, tidak salah untuk memilih lebih daripada satu sekolah elit sebagai pilihan," katanya.
Beliau turut menitipkan kata-kata semangat kepada semua calon yang bakal memohon kemasukan ke SBP dan MRSM bagi sesi 2027.
"All the best buat anak-anak yang memohon tahun ini. Gandakan usaha dan persediaan. Yakinlah dengan ketentuanNya.
"Usaha bersungguh-sungguh, kemudian serahkan hasilnya kepada ALLAH," katanya.