Dewan Besar Kompleks Rakan Muda Jempol, Negeri Sembilan bertukar gamat apabila 132 murid sekolah rendah berentap dalam Pertandingan STEM Speed Challenge bagi menguji kecekapan teknikal, kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam tempoh yang ditetapkan.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian Program Pembangunan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Sekolah-Sekolah Daerah Jempol dan Jelebu 2026 yang bertujuan mencungkil bakat serta minat murid dalam bidang STEM sejak di bangku sekolah.
Inisiatif berkenaan digerakkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jempol dan Jelebu bersama rakan industri STEM, selaras dengan hasrat memperkasakan ekosistem pendidikan dan kemenjadian murid seperti yang digariskan menerusi Teras Strategik 5, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Penyelaras Program yang juga Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) Sains dan Matematik PPD Jempol dan Jelebu, Hafidzah Mohd Saini berkata, aktiviti berasaskan STEM seperti ini dirancang bagi memberi peluang kepada murid mengaplikasikan teori yang dipelajari di dalam bilik darjah ke dalam situasi praktikal yang lebih interaktif dan mencabar.
Sementara itu, dalam pertandingan yang bermula pada jam 10.30 pagi itu, setiap sekolah menghantar satu kumpulan yang dianggotai empat murid Tahun Empat, Lima dan Enam.
Mereka diberikan cabaran untuk memasang empat kit STEM berbeza serta memastikan setiap perkakasan yang dibina dapat berfungsi dengan baik dalam tempoh tidak melebihi 20 minit.
Ketua Juri, Cikgu Lee Lee Tin bersama 10 juri teknikal menilai hasil kerja peserta berdasarkan ketepatan pemasangan, reka bentuk dan fungsi setiap komponen yang dibina, dengan markah maksimum sebanyak 40 mata diperuntukkan.
Dalam pada itu, program tersebut turut menyaksikan PPD Jempol dan Jelebu dengan sokongan rakan strategik industri STEM mengagihkan sebanyak 31,000 unit kit STEM kepada institusi pendidikan di daerah berkenaan.
Agihan berskala besar itu memberi manfaat kepada semua sekolah rendah, sekolah menengah, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta Kolej Vokasional di bawah seliaan PPD Jempol dan Jelebu.
Penyerahan simbolik kit STEM telah disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Jempol dan Jelebu, Murad Nordin kepada wakil sekolah yang hadir.
Inisiatif pembekalan bahan bantu mengajar tersebut dilihat mampu memperkukuh pelaksanaan pembelajaran berasaskan projek di sekolah, sekali gus menyokong aspirasi RPM 2026-2035 dalam melahirkan murid yang berdaya saing, kreatif dan kalis masa hadapan.
Semua wakil sekolah yang hadir menerima agihan kit STEM masing-masing sejurus majlis berakhir untuk digunakan dalam aktiviti pembelajaran di institusi pendidikan mereka.