Selamat hari lahir Tun M ke-101, terima kasih atas segala jasa & pengorbanan

Iklan
Selamat hari lahir Tun M ke-101. Terima kasih kerana berbakti dan berkorban demi Malaysia. Foto: Media sosial Tun M

Hari ini, seluruh rakyat Malaysia menitipkan ucapan penuh kasih sayang dan penghargaan buat bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-101.

Menerusi pelbagai platform media sosial, ruangan komen dibanjiri dengan ucapan, doa dan penghargaan daripada rakyat yang mengenang jasa serta sumbangan beliau kepada negara sepanjang berkhidmat dalam dunia perkhidmatan awam dan politik.

Iklan
Iklan

Ramai menzahirkan rasa bangga kerana berpeluang menyaksikan era kepimpinan seorang negarawan yang berjaya membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi menerusi pembangunan ekonomi, pendidikan, perindustrian dan infrastruktur.

Antara ucapan mencuri perhatian ialah daripada Al Amin yang menyifatkan Tun Mahathir sebagai seorang pemimpin yang meninggalkan kesan besar kepada pembangunan negara.

Iklan

"Sebagai anak Malaysia, saya berbangga kerana pernah menyaksikan sebuah era yang dipimpin oleh seorang negarawan yang berani mencorakkan kemajuan.

"Dari pembangunan infrastruktur, perindustrian, pendidikan hingga keyakinan rakyat terhadap kemampuan negara, jasa Tun M telah meninggalkan kesan yang tidak boleh dipadam oleh zaman.

Iklan

"Semoga ALLAH SWT mengurniakan Tun M kesihatan yang berpanjangan, ketenangan jiwa serta keberkatan usia," tulisnya.

Turut menitipkan doa ialah Dziehan Mustapa yang berharap Tun Mahathir terus dikurniakan kesihatan dan keberkatan hidup.

Sementara itu, Fahdi Ghazali menyatakan bahawa bukan semua individu diberi peluang meninggalkan legasi yang mampu mengubah sesebuah negara dan terus menjadi rujukan walaupun selepas lebih satu abad kehidupan.

"Terima kasih atas jasa, keberanian dan pemikiran yang telah membentuk perjalanan Malaysia," katanya.

Foto: Media sosial Tun M

Norhan Jaafar pula meluahkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia kerana dapat menyaksikan era kepimpinan Tun Mahathir yang menjadikan negara dikenali di persada dunia.

Dalam masa sama, beberapa selebriti tanah air turut tidak ketinggalan menzahirkan ucapan sempena ulang tahun kelahiran tokoh berkenaan.

Antaranya ialah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menulis,"Masya-Allah Tabarakallah. Selamat ulang tahun kelahiran ayahanda Tun."

Terdahulu, Tun Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar. Beliau merupakan anak bongsu daripada sembilan adik-beradik.

Beliau mendapat pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine.

Sebagai Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh Malaysia, Tun Mahathir dikenali sebagai antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah negara. Beliau juga merupakan Perdana Menteri yang paling lama mentadbir Malaysia.

Sepanjang tempoh kepimpinannya, pelbagai projek pembangunan berskala besar berjaya direalisasikan termasuk Petronas Twin Towers, Kuala Lumpur International Airport, Proton, Perodua serta pembangunan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara.

Atas sumbangan besar tersebut, beliau turut dikenali dengan gelaran 'Bapa Pemodenan Malaysia'. 

Bagi generasi muda khususnya pelajar sekolah, kisah kehidupan Tun Mahathir membuktikan bahawa ilmu pengetahuan, disiplin, kerja keras dan semangat cintakan negara mampu membawa seseorang mencapai kejayaan luar biasa.