Jangan sorok kes buli demi jaga imej sekolah - PM

Iklan
Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pihak sekolah agar tidak menyorokkan kes buli semata-mata untuk menjaga imej institusi, sebaliknya mengambil tindakan segera bagi melindungi mangsa dan menangani masalah secara berkesan.

Beliau berkata, kes buli mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak namun kesannya amat besar kepada mangsa dan kes seperti itu boleh berlaku di mana-mana institusi pendidikan.

Iklan
Iklan

"Saya (juga) tidak fikir seorang guru besar atau pengetua itu salah kalau dia bongkar satu kes, pelajar ada 1,000, ada dua kes buli, takkan hendak salahkan pengetua tetapi (jadi) salah kalau dia tidak mengambil tindakan dan hendak tutup kes," kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar dan Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik di Bandar Enstek yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Jumaat.

Iklan

Perdana Menteri berkata, kejadian buli yang masih berlaku menunjukkan masih terdapat kelemahan dalam usaha membentuk sahsiah dan akhlak pelajar meskipun pendidikan agama kini lebih meluas berbanding sebelum ini.

"Kalau kita bongkar betul-betul, hari-hari ada kes buli... ini tak boleh, maknanya (buli) menjadi satu penyakit... penyakit akhlak," kata beliau.

Iklan

Anwar berkata, pendidikan tidak seharusnya hanya melahirkan individu yang cemerlang dalam bidang akademik atau memiliki kepakaran teknikal tetapi perlu membentuk insan yang memahami nilai kemanusiaan serta menghormati orang lain.

"Kita boleh jadi teknokrat, pakar IT (teknologi maklumat) atau memiliki PhD (doktor falsafah), tetapi untuk apa semua itu kalau tidak dididik menjadi manusia yang memahami nilai kemanusiaan dan menghormati orang lain," kata beliau.

Justeru, Anwar berkata, warga pendidik memikul tanggungjawab besar untuk memastikan institusi pendidikan menjadi tempat menimba ilmu sekali gus melahirkan generasi beriman, berakhlak dan mempunyai sifat ihsan terhadap sesama manusia.

Pada masa sama, beliau mengakui, prestasi bidang perguruan negara berada di tahap yang amat baik dan mahukan prestasi berkenaan terus dipertingkat selaras kualiti pendidikan negara pada peringkat tertinggi.- Bernama