Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memulakan program reformasi sekolah bermula minggu depan dengan memilih 10 sekolah di setiap daerah di seluruh negara sebagai perintis dalam usaha memperkukuh mutu pendidikan, profesionalisme guru dan kemenjadian murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap daerah akan memilih lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah, dengan setiap sekolah ditawarkan peruntukan sehingga RM100,000 bagi melaksanakan pelbagai perubahan serta inisiatif reformasi mengikut keperluan masing-masing.
Menurutnya, beliau telah mengadakan sesi bersama sekolah-sekolah yang terpilih dan mendapati semua pihak menunjukkan semangat yang tinggi untuk menjayakan agenda reformasi berkenaan.
"Tawaran kita itu adalah sehingga RM100,000 untuk setiap sekolah melakukan pelbagai perubahan dan reformasi di dalam sekolah dengan jauh lebih baik, mengangkat mutu pendidikan, mengangkat kemenjadian dan mengangkat profesionalisme serta kepakaran guru kita," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPM pada Selasa. - Sinar Harian