Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 semakin hampir. Ketika ini, ribuan calon sedang bertungkus-lumus mengulang kaji pelajaran dengan harapan dapat menghadiahkan keputusan terbaik buat diri sendiri dan ibu bapa.
Dalam usaha mengejar kejayaan itu, perkongsian pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Adnin Roslan, wajar dijadikan inspirasi. Pesannya mudah, namun cukup bermakna iaitu jangan mudah berputus asa, berusahalah bersungguh-sungguh dan letakkan sepenuh pergantungan kepada ALLAH SWT.
Ramai mungkin tidak menyangka, Ustaz Adnin pernah berdepan pelbagai cabaran dalam akademik sebelum akhirnya berjaya memperoleh 9A dalam peperiksaan SPM.
Menurutnya, dia bukanlah seorang pelajar yang cemerlang sejak kecil.
"Saya bukan budak pandai. Masa Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pun saya tak dapat 5A. Subjek Sains selalu gagal, Matematik pun kerap gagal ketika Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua.
"Saya kemudian menyambung pengajian di sekolah tahfiz. Apabila masuk Tingkatan Tiga, saya kembali ke Tingkatan Satu untuk mengambil Penilaian Menengah Rendah (PMR), jadi saya menduduki PMR ketika berusia 16 tahun. Keputusan PMR juga tidaklah membanggakan," katanya menerusi perkongsian video di TikTok.
Bagaimanapun, beberapa bulan sebelum menduduki SPM, beliau mula bermuhasabah.
Katanya, ketika itu timbul persoalan dalam dirinya mengapa sebagai pelajar al-Quran dan sekolah agama, dia masih tidak bersungguh-sungguh dalam pelajaran.
"Saya fikir, kalau saya bercita-cita mahu menjadi orang yang mengajar agama, saya juga mesti bersungguh-sungguh dalam akademik. Dari situ saya nekad untuk berubah," katanya.
Selama hampir empat bulan sebelum peperiksaan SPM, Ustaz Adnin berkata, dia belajar setiap hari selepas solat Isyak sehingga jam 3 pagi.
Memandangkan tinggal di asrama, dia memilih untuk mengulang kaji pelajaran bersendirian di musala sekolah agar dapat memberikan sepenuh tumpuan.
"Saya paksa diri sebab saya tahu saya bukan budak pandai. Kalau saya tidak berusaha lebih daripada orang lain, saya tidak akan ke mana," katanya.
Selain mengulang kaji secara konsisten, beliau turut menyediakan nota hampir bagi semua subjek dan berulang kali membuat latihan menggunakan koleksi soalan peperiksaan tahun-tahun terdahulu.
"Banyak kali juga saya menangis kerana Matematik Tambahan sangat susah. Tetapi saya teruskan juga.
"Alhamdulillah, dengan izin ALLAH dan hasil usaha yang tidak pernah berhenti, saya berjaya memperoleh 9A dalam SPM," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap calon SPM tidak mudah mengalah apabila berdepan kesukaran dalam pelajaran.
"Saya nak pesan kepada adik-adik, kalau nak berjaya, kita mesti berusaha. Siapa yang berusaha, insya-ALLAH ALLAH akan beri jalan," katanya.
Perkongsian Ustaz Adnin membuktikan bahawa kejayaan bukan hanya milik pelajar yang dianggap bijak sejak awal, sebaliknya milik mereka yang sanggup berubah, berusaha tanpa mengenal penat dan sentiasa meletakkan kebergantungan kepada ALLAH.