Tokoh sastera negara, Allahyarham Dr Abdul Rahman Napiah, atau lebih dikenali dengan nama pena Mana Sikana, pada Khamis dianugerahkan Anugerah Sastera Negara (ASN) Ke-16, pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada tokoh yang memberikan sumbangan cemerlang dan berterusan terhadap perkembangan kesusasteraan kebangsaan.
Anugerah berprestij itu dikurniakan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia kepada balu Allahyarham, Salmah Ali pada Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-16 di Kuala Lumpur.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika sembah ucapan menjunjung kasih berkata, pemilihan Mana Sikana sebagai Sasterawan Negara ke-16 adalah pengiktirafan terhadap sumbangan besar Allahyarham dalam memperkukuh kesusasteraan kebangsaan menerusi karya kreatif, pemikiran teori, kritikan serta wacana akademik.
Beliau yang juga Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara ke-16 berkata, karya Mana Sikana bukan sahaja membentuk kesedaran, empati, dialog budaya dan nilai kemanusiaan, malah mengajak masyarakat memahami kepelbagaian rakyat Malaysia daripada perspektif yang lebih mendalam.
"Dunia kepengarangan beliau yang prolifik telah mencetus dan menggerakkan rasa bangga akan hasil seni anak tempatan dalam persada persuratan yang dihormati.
"Pengaruh Allahyarham terhadap kepengarangan penulis Malaysia sangat besar kerana Allahyarham bukan sahaja menghasilkan karya kreatif, malah membentuk cara berfikir tentang sastera melalui teori, kritikan, pengajaran dan pembinaan wacana akademik," katanya.
Fadhlina berkata, sepanjang kerjayanya, Mana Sikana menghasilkan lebih 100 karya antaranya novel Tanah di Hujung Bendang, Pengadilan, Di Hujung Taming Sari dan Pasir-Pasir di Pasir Salak.
Beliau berkata, pengaruh Allahyarham turut terserlah dalam tiga aspek utama iaitu memperluas teknik penulisan kreatif, membudayakan pemikiran kritis dalam penghasilan karya serta melahirkan generasi penulis, penyelidik dan pengkritik menerusi universiti, seminar serta penulisan ilmiah.
Dilahirkan di Bagan Serai, Perak pada 9 Oktober 1946, Mana Sikana memulakan kerjaya sebagai guru sebelum menceburi bidang akademik dan berkhidmat di beberapa Institusi Pengajian Tinggi termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Nanyang, Singapura serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pemegang Ijazah Doktor Falsafah dari UKM itu turut menerima pelbagai pengiktirafan berprestij, termasuk Hadiah Sastera Malaysia, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Anugerah Sasterawan Perak dan Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat Hadiah Sastera Darul Ridzuan, sebelum diiktiraf sebagai Sasterawan Negara ke-16.
ASN adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada sasterawan yang berkarya dalam bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan cemerlang, serta berterusan terhadap perkembangan kesusasteraan kebangsaan menerusi penghasilan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.
Selain mengiktiraf jasa tokoh penulis tanah air, anugerah itu bertujuan memupuk semangat mencintai bahasa dan kesusasteraan dalam kalangan masyarakat, di samping memastikan kesinambungan tradisi penulisan berkualiti tinggi.
Sebagai penerima ASN ke-16, Allahyarham Mana Sikana menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 serta kemudahan penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan diedarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan serta agensi kerajaan di seluruh negara.
Mana Sikana meninggal dunia pada usia 80 tahun pada Mei 2025 akibat komplikasi jantung. - Bernama