Anak Perak tembus Kazakhstan, raih dua ijazah

Iklan
Saarani (tengah) bersama lima penuntut UMPSA yang akan mengikuti pengajian selama setahun di Kazakhstan sekali gus berpeluang memperoleh dua ijazah yang dianugerahkan UMPSA serta KazNARU.

Lima anak Perak bakal mengharumkan nama negeri di persada antarabangsa apabila terpilih mengikuti Program Ijazah Dual Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) - Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan bermula September nanti.

Menerusi program itu, kelima-lima penuntut UMPSA tersebut akan mengikuti pengajian selama setahun di Kazakhstan dan berpeluang memperoleh dua ijazah yang dianugerahkan oleh UMPSA serta KazNARU.

Iklan
Iklan

Peluang direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara Yayasan Perak dan UMPSA, dengan penajaan keseluruhan berjumlah RM198,380.

Daripada jumlah itu, Yayasan Perak dan UMPSA masing-masing menyumbang RM99,190 bagi menampung yuran pengajian, elaun sara hidup, tiket penerbangan dan visa pelajar sepanjang tempoh setahun pengajian.

Iklan

Kerjasama tersebut dimeterai menerusi pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) yang disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. 

Iklan

Bukan sekadar belajar di luar negara

Lebih daripada sekadar peluang melanjutkan pengajian di luar negara, program itu menjadi platform untuk lima anak Perak menimba pengalaman akademik dan penyelidikan dalam persekitaran antarabangsa.

Mereka juga bakal didedahkan kepada perkembangan teknologi, penyelidikan dan inovasi dalam bidang pertanian, sekali gus membawa pulang ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negeri.

Inisiatif tersebut selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030, khususnya dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan secara mampan.

Bagi memastikan sektor agromakanan terus berkembang, negeri bukan sahaja memerlukan peningkatan hasil pertanian, malah bakat berkemahiran tinggi yang mampu mengaplikasikan ilmu sains, teknologi dan bioteknologi.

Justeru, penajaan lima anak Perak itu dilihat sebagai pelaburan strategik dalam melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada sektor agroekonomi dan agroindustri negeri pada masa hadapan. 

B40 turut diberi peluang

Lima penerima tajaan dipilih berdasarkan pencapaian akademik dengan syarat minimum Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00, selain perlu melepasi proses saringan dan temu duga yang dijalankan Yayasan Perak serta UMPSA.

Keutamaan turut diberikan kepada pelajar daripada keluarga B40.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts Dr Yatimah Alias, program ijazah dual memberi peluang kepada pelajar memperluas pengalaman akademik dan penyelidikan dalam persekitaran antarabangsa.

Katanya, UMPSA kini merupakan satu-satunya universiti awam yang melaksanakan 12 Program Ijazah Dual hasil kerjasama strategik jangka panjang dengan institusi pengajian tinggi luar negara.

Antara rakan strategik UMPSA ialah Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Technische Hochschule Mannheim (THM), Jerman; Beijing Jiaotong University (BJTU), Tianjin University dan Hebei University, China; KazNARU, Kazakhstan serta Hanyang University ERICA Campus, Korea Selatan.

"Kerjasama ini mencerminkan keupayaan UMPSA dalam membangunkan program akademik rentas negara yang diiktiraf bersama dan dilaksanakan melalui penyelarasan kurikulum, standard kualiti serta pemindahan ilmu dan kepakaran antara institusi," katanya.

Pelaburan untuk masa depan Perak

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan berkata, kaedah penajaan bersama membolehkan Yayasan Perak memperluas manfaat dana pendidikan melalui perkongsian kos dengan institusi pengajian tinggi.

"Melalui pembiayaan secara sama rata bersama UMPSA, sumber yang ada dapat dimanfaatkan dengan lebih optimum untuk membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada anak Perak," katanya.

KazNARU merupakan universiti rakan antarabangsa UMPSA khususnya dalam bidang penyelidikan dan inovasi pertanian seperti bioteknologi industri, sains makanan serta agroindustri.

Kedudukannya di Kazakhstan yang merupakan antara hab utama pengeluaran dan eksport bijirin di Asia Tengah turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai ekosistem pertanian berskala besar.

Dari Perak ke Kazakhstan, lima anak negeri itu kini membawa satu misi besar dengan menimba ilmu di pentas dunia dan membawa pulang kepakaran untuk membangunkan Perak.