Polis menerima laporan membabitkan dua pelajar Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, Melaka yang didakwa hilang sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan dibuat oleh guru mengenai kehilangan Siti Nur Aaira Aidi, 16, dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad, 16, pada jam 10.46 malam pada 11 Ogos lalu.
"Siti Nur Aaira mempunyai ketinggian 157 sentimeter serta berat 50 kilogram, berkulit gelap dan beralamat di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor.
"Manakala Nur Aisy Humaira mempunyai ketinggian serta berat sama dan berkulit cerah dengan terakhirnya adalah di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedua-dua individu ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahrul Izwan Mohd Suffian di talian 017-8180106 atau melaporkan ke balai polis berhampiran
Sementara itu Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat memohon doa dan kerjasama masyarakat agar kedua-dua pelajar berkenaan dapat ditemui serta kembali ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat.
"Di pagi Jumaat barakah ini tolong doakan agar dua pelajar MRSM Alor Gajah Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang hilang kembali semula ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat," katanya.
Berdasarkan maklumat poster penularan kes berkenaan, lokasi terakhir kedua-dua pelajar berkenaan dilihat adalah di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.
Siti Nur Aaira dilaporkan terakhir dilihat memakai baju berwarna hitam, berkulit cerah sederhana atau kacukan, berbadan kurus serta tinggi.
Sementara itu, Nur Aisy Humaira pula kali terakhir dilihat berpakaian gelap.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung keberadaan kedua-dua remaja berkenaan diminta segera menghubungi talian waris di +60 13-299 4303 (Ibu), +60 19-765 2404 (Ayah), 019-237 0810 (Nisa - Ibu) atau mana-mana balai polis berdekatan.