Sekolah Kebangsaan (SK) Kuamut merupakan sekolah Pedalaman 3 yang terletak jauh di hulu Sungai Kinabatangan, Sabah.
Untuk keluar ke bandar, warga sekolah perlu meredah perjalanan panjang yang melibatkan perahu menyusuri sungai lebih lima jam sebelum meneruskan perjalanan darat berjam-jam lagi.
Jurang geografi dan kos berlipat kali ganda inilah yang sering mengehadkan akses mereka kepada pengalaman menyertai pelbagai program luar bilik darjah yang bersifat bersemuka.
Perjalanan yang panjang dan melelahkan itu akhirnya membawa Jezrellevans Jumiti dan Raiyen Mansor, dua murid Tahun Empat merangkap Pengawas Pusat Sumber SK Kuamut, ke Pacific Ballroom, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur bagi menyertai Seminar Pengawas Pusat Sumber dan Pertandingan Jejak Maklumat Peringkat Antarabangsa 2026 menerusi program Malaysia Innovative Futuristic Library Academy (MIFLA Junior 5.0) baru-baru ini.
MIFLA Junior 5.0 yang dilaksana sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 merupakan anjuran Pertubuhan Guru Perpustakaan dan Media Malaysia (PGPMM) dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).
Lebih 3,000 Pengawas Pusat Sumber dari seluruh Malaysia berhimpun dalam program berprestij tersebut, menjadikannya antara platform pembangunan kepimpinan murid yang terbesar di negara ini.
Bagi sebuah sekolah yang terletak di kawasan Pedalaman 3 Sabah, peluang seperti ini merupakan peluang luar biasa yang jarang sekali berlaku.
MIFLA Junior 5.0 menyemarakkan lagi semangat anak Kuamut untuk meneroka dunia luar kerana lazimnya pengalaman sedia ada yang hadir kebanyakannya hanya melalui halaman buku, skrin televisyen, media sosial atau cerita guru-guru mereka.
Program ini menggabungkan seminar, perkongsian amalan terbaik, pendedahan teknologi, pertandingan dan jaringan profesional yang memberi pengalaman pembelajaran autentik kepada murid.
Semua pengisian membuka perspektif bahawa pusat sumber sekolah bukan lagi sekadar tempat meminjam buku, sebaliknya hab ilmu, kreativiti dan inovasi.
Guru Besar SK Kuamut, Adnan Joseph @ Mohd Hussain A.D.K., menyifatkan penyertaan ini sebagai satu pengalaman pembelajaran yang amat bernilai.
Menurut beliau, kemenjadian murid merupakan matlamat utama pendidikan. Pengalaman yang dirasai sendiri di luar bilik darjah mampu memperkayakan pembelajaran serta memberi makna yang lebih mendalam berbanding pembelajaran secara teori semata-mata.
Pandangan itu turut dikongsi oleh Yang Dipertua PIBG SK Kuamut, Deesy Mastor.
Beliau mengakui bahawa faktor kedudukan sekolah yang jauh di pedalaman menyebabkan setiap penyertaan di dalam dan luar daerah apatah lagi negeri memerlukan kos yang sangat tinggi serta komitmen pelbagai pihak.
Justeru, peluang ini disambut dengan penuh rasa syukur oleh seluruh komuniti Kuamut.
Meneroka dunia pendidikan
Majlis dimulakan dengan perasmian oleh Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan sebelum para peserta dibawa meneroka dunia pendidikan masa hadapan melalui Digital Exploria.
Di sinilah mereka melihat sendiri demonstrasi robot anjing, mengenali aplikasi kecerdasan buatan dan pelbagai teknologi robotik yang sebelum ini hanya mereka lihat melalui video pembelajaran.
Program diteruskan dengan pelbagai pengisian yang menyemarakkan budaya membaca dan pembelajaran kreatif seperti Piala Nadim 2026 oleh Geng Buku, perkongsian daripada rakan strategik Must Read dan Gempak Starz, selain kemunculan watak popular Papa Zola dan Pipi Zola yang berjaya menceriakan suasana dewan.
Di sebalik kemeriahan itu, murid-murid sebenarnya sedang didedahkan kepada ekosistem pembacaan yang lebih luas dan menyeronokkan.
Antara sesi yang paling memberi inspirasi ialah perkongsian amalan terbaik oleh Pengawas Pusat Sumber SeMPurna, SMK Pulai Perdana.
Murid-murid SK Kuamut melihat sendiri bagaimana Pengawas Pusat Sumber mampu menjadi pemimpin muda yang aktif, kreatif dan berani tampil menguruskan program berskala besar.
Ia membuka mata mereka bahawa pusat sumber sekolah bukan sekadar tempat meminjam buku, sebaliknya medan membentuk kepimpinan, komunikasi dan inovasi.
Pengalaman itu diperkukuh melalui slot Keterampilan Diri dan Teknik Komunikasi Berkesan yang disampaikan oleh personaliti dan pengacara TV AlHijrah, Zaiton Mohamad Khalid.
Beliau berkongsi teknik berkomunikasi secara profesional, membina keyakinan diri dan penampilan yang meyakinkan, sekali gus memberi inspirasi kepada murid untuk lebih berani menyertai aktiviti TV PSS serta pertandingan pengucapan awam pada masa hadapan.
Kemuncak pengalaman sudah tentu apabila kedua-dua murid SK Kuamut menyertai Pertandingan Jejak Maklumat Peringkat Antarabangsa.
Lebih bermakna, mereka digabungkan bersama dua Pengawas Pusat Sumber dari SK Teriang, Serian, Sarawak.
Dalam satu pasukan, mereka perlu berbincang, mencari maklumat di setiap stesen, menjawab pelbagai soalan mencabar serta menyelesaikan tugasan secara kolaboratif.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Fadzliaton Zainudin.
Namun bagi dua murid kecil dari hulu Sungai Kinabatangan ini, ia sebenarnya menandakan permulaan kepada sebuah impian yang lebih besar.
Program seperti MIFLA Junior 5.0 membuktikan bahawa pengalaman pembelajaran luar bilik darjah mampu menjadi titik perubahan dalam kehidupan seorang kanak-kanak.
Pendidikan yang sebenar ialah memastikan setiap murid, tanpa mengira latar geografi dan sosioekonomi, memperoleh peluang yang sama untuk melihat dunia, membina keyakinan dan berani bermimpi.
Kisah anak SK Kuamut
Dalam era yang sering memperkatakan tentang akses dan ekuiti pendidikan, kisah SK Kuamut mengingatkan kita bahawa masih ada anak-anak yang perlu menempuh sungai selama berjam-jam hanya untuk mendapatkan peluang yang dianggap biasa oleh orang lain.
Apabila peluang itu akhirnya tiba, mereka tidak mensia-siakannya. Mereka pulang bukan sekadar membawa sijil penyertaan, tetapi membawa cara berfikir yang baharu.
Guru pengiring, Cikgu Muhammad Najib Mohd Jamil, yang turut ditemani oleh Darwis Junus, melihat penyertaan ini daripada sudut yang lebih mendalam.
Beliau mahu mereka melihat sendiri bahawa dunia ini jauh lebih luas daripada lingkungan yang mereka diami.
Kami, para guru SK Kuamut berusaha sebaiknya memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk melihat dunia kejayaan yang boleh mereka kecapi jika mahu berusaha dan mengubah masa depan yang lebih baik.
Tambah beliau, kami mengambil peluang untuk mendedahkan pelbagai perkara baharu kepada murid.
Untuk kali pertama, mereka ini menaiki kapal terbang, menggunakan MRT dan LRT, meneroka Putrajaya, melihat kehebatan pencakar langit Kuala Lumpur, menginap di apartment di aras 69 dan berenang di kolam infinitinya.
Layanan lima bintang turut diberikan apabila berpeluang menaiki kereta Alphard dari penginapan ke lokasi seminar.
Mereka turut sempat berlatih berbual dalam bahasa Inggeris dengan pelancong dari Switzerland dan Perancis. Setiap pengalaman ini sudah pasti meninggalkan impak yang besar dalam hidup mereka.
Setelah merasai pelbagai pengalaman baharu, perubahan itu jelas kelihatan ketika perjalanan pulang.
Dalam kedua-duanya mengalirkan air mata, Jezrellevans Jumiti memasang impian untuk berubah dan lebih serius mengubah kehidupan diri agar suatu hari nanti dapat membawa keluarganya ke Kuala Lumpur dengan hasil usahanya sendiri.
Raiyen Mansor pula berazam menjadi lebih berani berkomunikasi dan mahu berkongsi pengalaman ini dengan rakan-rakan di kampung.
MIFLA Junior telah menanam benih cita-cita yang mungkin tidak dapat disemai hanya melalui pembelajaran di dalam kelas, malah pulang dengan impian yang lebih besar daripada kampung yang membesarkan mereka.
Sesungguhnya, pendidikan tidak sentiasa mengubah tempat seseorang dilahirkan. Sungai Kinabatangan tetap mengalir seperti biasa.
Perjalanan lima jam menaiki perahu masih menjadi rutin masyarakat Kuamut. Namun pendidikan mampu mengubah cara seseorang melihat kehidupan.
Apabila pulang nanti, Jezrellevans dan Raiyen mungkin masih menaiki perahu yang sama untuk kembali ke sekolah.
Tetapi mereka pulang dengan cara berfikir yang berbeza. Mereka telah melihat dunia teknologi, berinteraksi dengan tokoh pendidikan, belajar bersama ribuan murid dari seluruh negara dan merasai sendiri bahawa kejayaan bukanlah milik mereka yang tinggal di bandar semata-mata.
Apabila seorang anak Pedalaman 3 berani bermimpi, seluruh komuniti akan turut merasai kesannya.
Mungkin suatu hari nanti mereka akan kembali sebagai guru, jurutera, doktor, tentera, penulis atau pemimpin yang membangunkan tanah kelahiran sendiri.
Ketika itulah sebuah perjalanan yang bermula dengan lima jam menaiki perahu akan menjadi titik mula kepada perubahan yang jauh lebih besar.
Sekalung penghargaan dirakamkan kepada Timbalan Pengerusi PGPMM, Cikgu Shah Ridha Abdul Jalil selaku penyelaras program atas komitmen luar biasa menjayakan MIFLA Junior 5.0.
Penghargaan turut diberikan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja PGPMM dari pelbagai negeri yang diketuai oleh Pengerusi PGPMM, Dr Zuridah Hanim Md Akhir, serta Pengawas Pusat Sumber SeMPurna, SMK Pulai Perdana, yang mempamerkan disiplin, kepimpinan dan kesungguhan sebagai “tentera kecil” dalam menguruskan program berskala besar sepanjang cuti persekolahan.
Sesungguhnya, kejayaan program ini bukan sekadar terletak pada pengisiannya, tetapi juga pada keikhlasan insan-insan di belakang tabir yang membuka ruang pengalaman luar biasa kepada ribuan murid dari seluruh negara.
Sentiasa menjengah peluang yang ada, SK Kuamut Tatap Kalaga! (SK Kuamut Tetap Sampai!)
Maklumat penulis:
Guru SK Kuamut, Kinabatangan, Sabah, Cikgu Muhammad Najib Mohd Jamil
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my