Pingat emas diraih di pentas antarabangsa menjadi pencapaian terbaharu buat pelajar Foundation in Liberal Arts, School of Education and Social Sciences (SESS), Management and Science University (MSU), Adelia Nur Irwan Syazalee.
Atlet berusia 19 tahun itu bersama gandingannya, Adania Mohd Redzwan, muncul juara acara Beregu Wanita pada International Bowling Federation (IBF) World Youth Championships 2026 yang berlangsung di Kuching, Sarawak.
Kejayaan itu dicapai sebaik sahaja menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Erin Klemencic dan Elizabeth Teuber, 2-0 pada aksi final.
Pencapaian itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah memperlihatkan kemampuan Adelia mengurus tuntutan sebagai mahasiswa dan atlet berprestasi tinggi.
Di sebalik pencapaian itu, sokongan keluarga, rakan sepasukan, jurulatih dan pensyarah menjadi kekuatan yang membantu Adelia meneruskan pengajian sambil memenuhi komitmen latihan serta pertandingan di peringkat antarabangsa.
Bagi Adelia, MSU menawarkan persekitaran pembelajaran menyokong perjalanan sebagai atlet kebangsaan.
Mengenai Adelia, minat terhadap boling kompetitif bermula ketika berusia 15 tahun selepas mewakili sekolah dalam pertandingan peringkat negeri.
Daripada sekadar aktiviti riadah, minat itu berkembang menjadi perjalanan sukan yang membawanya ke pembangunan belia kebangsaan sebelum menyertai Skuad Belia Kebangsaan Malaysia.
Sepanjang kariernya, Adelia mewakili Malaysia di kejohanan antarabangsa dan meraih pelbagai kejayaan, termasuk pingat emas berpasukan pada Kejohanan Dunia Belia yang mencatat sejarah buat negara.
Dalam bidang akademik, Adelia bercadang melanjutkan pengajian jurusan Psikologi, khususnya psikologi sukan, bagi menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan atlet pada masa hadapan.
Kejayaan itu membawa pengiktirafan apabila Adelia dipilih sebagai pembawa bendera kontinjen Selangor pada Sukan Malaysia ke-22 (SUKMA 2026) nanti.