'Saya bukan sekadar menonton, saya mampu mencipta'

Iklan
Mohd Suki (lima dari kiri) menyampaikan Anugerah Khas kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Air Lanas.

Dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, murid bukan lagi sekadar perlu tahu menggunakan teknologi, sebaliknya perlu berani mencipta kandungan, menghasilkan karya dan menyampaikan idea sendiri.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Kelantan (JPNK), Mohd Suki Harun berkata, pendekatan itu antara perkara yang mahu diterapkan menerusi Festival Filem Kelantan 2026 atau Festival Lensa Pendidikan Kelantan (FLeP’26).

Iklan
Iklan

Menurutnya, festival berkenaan menjadi platform untuk mencungkil bakat dan kreativiti murid menerusi penghasilan filem, video kreatif serta podcast selain membina kemahiran komunikasi serta pemikiran kreatif.

"Melalui proses menghasilkan filem dan video, murid belajar merancang, mencari idea, menulis skrip, membuat rakaman, menyunting, menyelesaikan masalah dan mempersembahkan hasil karya mereka.

Iklan

"Kami mahu melahirkan generasi yang mampu berkata, 'saya bukan sekadar menonton, saya mampu mencipta'," katanya ketika merasmikan Anugerah FLeP’26 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ada Khamis.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber & Teknologi Pendidikan JPNK, Ts Zulkfli Zakaria; Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Dekan Fakulti Teknologi Kreatif & Warisan (FTKW), UMK, Profesor Madya Dr Raja Iskandar Raja Halid.

Iklan

FLeP'26 yang mendapat kerjasama FTKW UMK itu merupakan platform mengetengahkan usaha mengiktiraf kreativiti warga pendidikan dan murid menghasilkan kandungan media pendidikan yang berkualiti dan memberi impak positif.

Mohd Suki berkata, pengalaman menghasilkan kandungan secara langsung memberi ruang kepada murid untuk belajar di luar bilik darjah selain membina keyakinan diri apabila karya mereka dipersembahkan kepada khalayak.

Katanya, festival yang berlangsung dari 15 Mac hingga 20 Ogos itu turut memperkasa literasi media dan teknologi dalam kalangan murid supaya mereka bukan sahaja mahir menggunakan teknologi tetapi mampu memanfaatkannya secara bertanggungjawab.

"Kandungan digital kreatif yang dihasilkan mestilah berkualiti, beretika serta mempunyai nilai pendidikan, nilai murni dan mesej positif.

"Bakat murid dan potensi kerjaya dalam bidang perfileman, media digital, penyiaran, penerbitan, animasi serta industri kreatif dapat dikenal pasti," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Panel Juri, Profesor Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, sebanyak 218 penyertaan diterima dengan 85 peratus dari Kelantan selain penyertaan dari Thailand dan Indonesia.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan FTKW, UMK berkata, empat kategori dipertandingkan iaitu Video Televisyen Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) yang mencatatkan penyertaan tertinggi sebanyak 79, diikuti Video Podcast (48), Video Kreatif TV PSS (38) dan Filem Pendek (22).

"Peserta menunjukkan keberanian meneroka idea, mengetengahkan mesej yang dekat dengan masyarakat selain semakin yakin dalam penyampaian, penggunaan teknologi dan kerja berpasukan.

"Bagaimanapun, masih ada ruang penambahbaikan khususnya dalam aspek teknikal dan kualiti karya, dengan kategori Filem Pendek memerlukan perhatian dari segi jalan cerita, audio serta bahasa visual," katanya.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya menggunakan kecerdasan buatan (AI) sebagai alat bantu dalam penghasilan karya dan bukan menggantikan peranan manusia.

"Kamera boleh merakam gambar tetapi manusialah yang memberikan makna," katanya.