Pelaburan pendidikan Vale bantu lonjak pencapaian pelajar B40

Iklan
Afzal (tiga dari kiri) menyantuni sebahagian pengamal media yang hadir sempena program ramah mesra bersama Media Perak pada Khamis.

Inisiatif pendidikan yang dilaksanakan Vale Malaysia memberi impak positif kepada komuniti setempat khususnya dalam membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah meningkatkan pencapaian akademik.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat dan Kelestarian Vale bagi rantau Asia Pasifik, Afzal Mohsin berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi pelbagai program pendidikan termasuk penawaran biasiswa serta sokongan pembelajaran secara berterusan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara program utama yang dilaksanakan ialah Program Biasiswa Teluk Rubiah yang kini melibatkan seramai 12 penerima yang kini sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Sebagai sebuah organisasi besar, kami komited untuk memberi impak positif kepada masyarakat. Antara inisiatif kami adalah program pendidikan termasuk pemberian biasiswa dan sokongan pembelajaran.

Iklan

"Program ini dimulakan sejak tahun 2020 ketika pandemik Covid-19 apabila kami mendapati pelajar, khususnya daripada golongan B40, menghadapi kesukaran dalam pembelajaran," katanya sempena sesi ramah mesra bersama Media Perak pada Khamis.

Afzal berkata, Vale Malaysia turut bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi menyediakan kelas tuisyen kepada pelajar melibatkan subjek teras seperti Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains. 

Iklan

Katanya, usaha itu kemudiannya diperluas kepada pelbagai program lain termasuk pertandingan pengucapan awam dan projek berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi membina keyakinan serta kemahiran pelajar.

"Pembangunan bakat dalam bidang STEM amat penting memandangkan operasi kami memerlukan kepakaran kejuruteraan yang tinggi.

"Kami juga menyediakan bengkel persediaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun bagi membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan," katanya.

Beliau berkata, pelajar yang terlibat dalam program berkenaan turut berpeluang memohon biasiswa Vale dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan dan perdagangan sebagai laluan melanjutkan pengajian.

"Setakat ini, hasilnya amat memberangsangkan apabila jumlah pelajar memperoleh keputusan cemerlang meningkat kira-kira 30 peratus setiap tahun di Manjung," katanya.

Selain pendidikan, syarikat perlombongan multinasional itu turut melaksanakan inisiatif lain melibatkan aspek kelestarian dan pembangunan komuniti secara seimbang tanpa mengetepikan keutamaan kepada masyarakat setempat.

Antara usaha tersebut termasuk projek pemuliharaan biodiversiti melalui Pusat Ekologi Vale (VEC) serta program pembangunan ruang awam bagi merangsang aktiviti ekonomi dan pelancongan setempat.