Jalur Gemilang dari kaca mata Generasi Alpha

Iklan
Dari kiri (atas) Izz Safwan (gambar kedua) dan Azra Imani manakala dari kiri (bawah) Athirah, Shah Faheem Zikry dan Muhammad Adam.

Kongsi rasa murid Malaysia terhadap kedaulatan panji negara

Lahir dalam dunia yang serba pantas, Generasi Alpha membesar dengan teknologi di hujung jari, kandungan media sosial yang tidak pernah berhenti dan informasi yang hanya berjarak satu ‘klik’.

Bagaimanapun, di sebalik dunia digital yang begitu dekat dengan mereka, bagaimana generasi ini melihat satu simbol yang sudah lama menjadi identiti Malaysia iaitu Jalur Gemilang?

Iklan
Iklan

Sepanjang 69 tahun Malaysia Merdeka, Jalur Gemilang terus berkibar sebagai lambang negara, perpaduan dan semangat patriotisme rakyat.

Lebih daripada sekadar kain yang mempunyai 14 jalur merah dan putih, Jalur Gemilang sarat cerita sejarah, pengorbanan dan identiti sebuah negara.

Iklan

Bagi Generasi Alpha, yang sebahagian besarnya lahir selepas tahun 2010, Jalur Gemilang mungkin pemandangan biasa seperti di sekolah, rumah, jalan raya mahupun media sosial setiap kali tibanya bulan kebangsaan.

Namun, adakah mereka fahami simbolik sebenar bendera itu?

Iklan

1)"Bagi saya, Jalur Gemilang bukan sekadar bendera yang dikibarkan sewaktu bulan kemerdekaan. Ia adalah simbol identiti dan kebanggaan negara Malaysia.

Apabila melihatnya berkibar, saya rasa bangga kerana ia membawa nama Malaysia dan menjadi lambang kita di mata dunia.

Kita perlu menghormati Jalur Gemilang kerana setiap warna dan lambangnya mempunyai makna tersendiri.

Ia juga peringatan bahawa walaupun berbeza kaum, agama dan budaya, kita tetap bersatu sebagai satu negara." - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Izz Safwan Saiful Akmal, 15.

2)"Apabila nampak Jalur Gemilang dikibarkan, saya rasa sangat bangga.

Saya faham bahawa setiap warna dan lambang pada bendera itu ada maksudnya sendiri.

Bagi saya, Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai bendera yang dikibarkan sewaktu bulan kemerdekaan atau sambutan Hari Malaysia, tetapi ia simbol negara yang kita patut hormati dan hargai.

Sememangnya saya betul-betul rasa bangga setiap kali melihat rakan-rakan mengibarkan Jalur Gemilang, semangat berkobar-kobar.

Walaupun setiap hari ia dikibarkan di tiang sekolah, namun apabila semua orang mengibarkan bersama-sama, kita akan lebih bersatu sebagai rakyat Malaysia, kami Generasi Alpha pun tidak terkecuali!." - Pelajar SMK Rantau Panjang, Azra Imani Suhairul Nizam, 13.

3)"Jalur Gemilang membawa elemen-elemen yang menggambarkan negara Malaysia secara keseluruhan

Kita perlu mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kebangsaan sebagai tanda menghargai dan mensyukuri kemerdekaan yang telah dikecapi.

Pada masa yang sama, ia tanda penghormatan kepada para pejuang yang sanggup berkorban demi negara tercinta.

Kita perlu menunjukkan semangat patriotisme masih ada dalam diri walaupun membesar dalam zaman yang serba moden.

Apabila saya melihat Jalur Gemilang berkibar di sekolah, ia menyedarkan bahawa ada sejarah yang perlu dihargai, ada nilai harus dihayati dan jati diri disemai." - Pelajar SMK Seri Sepang, Athirah Ahmad Firwan, 15.

4)"Mengibarkan Jalur Gemilang setiap kali bulan kemerdekaan bukan sekadar amalan menghiasi persekitaran, sebaliknya merupakan simbol patriotisme, identiti nasional dan penghargaan terhadap sejarah perjuangan negara.

Jalur Gemilang melambangkan kedaulatan, perpaduan dan cita-cita bersama rakyat Malaysia yang berbilang kaum serta latar belakang.

Dalam konteks pembinaan negara bangsa, simbol kebangsaan seperti Jalur Gemilang dapat memperkukuh rasa kebersamaan dan meningkatkan kesedaran bahawa setiap warganegara mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan keharmonian, kedaulatan serta maruah negara.

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar tradisi tahunan tetapi manifestasi kesetiaan dan penghormatan terhadap tanah air yang kita miliki bersama." - Pelajar SMK Putrajaya Presint 18(1), Shah Faheem Zikry Shah Abu Zar, 15.

5)"Jalur Gemilang merupakan bendera kebangsaan negara Malaysia.

Setiap warna dan lambang yang ada pada bendera itu mempunyai maksud tertentu.

Biru melambangkan perpaduan rakyat dan bulan sabit menunjukkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Setiap bulan Ogos, saya dan rakan-rakan di sekolah akan mengibarkan Jalur Gemilang untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan.

Bukan itu sahaja, ia dapat meningkatkan semangat patriotik terhadap negara Malaysia!." - Murid Siraj Al-Alusi, Muhammad Adam Mohammad Khairuzzamani, 12.