Kematian pelajar Tingkatan 2: 'Saya tahu anak dibuli, mahu keadilan'

Iklan
Bagi Kasturi, apa yang diharapkannya kini hanyalah keadilan dan kebenaran mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada anaknya, G. Keziah Nisha.

14 tahun! Namun, di sebalik kasih sayang yang dibina selama itu, hadir kata-kata dari luar yang perlahan-lahan merobek jiwa.

Hingga akhirnya, hilang tempat untuk berpaut dan lalu memilih untuk pergi selama-lamanya.

Iklan
Iklan

Yang ditinggalkan hanyalah secebis nota yang mengundang seribu persoalan dan sehingga kini masih sukar dilerai.

Dan kini, satu persatu kata-kata terakhir G. Keziah Nisha bersama ibunya, Kasturi kembali terbayang di ruang ingatan.

Iklan

Antaranya, pesanan remaja berusia 14 tahun itu yang mahu memberikan sesuatu kepada ibunya sempena hari jadi.

"Saya nak bagi mak hadiah."

Iklan

Itu antara pesanan yang sempat disampaikan Keziah kepada ibunya beberapa hari sebelum dia ditemukan meninggal dunia.

Di sebalik pesanan ringkas itu, tersimpan kisah yang kini menjadi antara kenangan paling berat buat seorang ibu.

Kasturi berkata, ketika itu dia tidak pernah menyangka hadiah yang dimaksudkan anaknya akan menjadi sesuatu yang begitu menyakitkan.

"Kakak dia (mangsa) datang dan bagi saya hadiah. Masa saya buka hadiah itu, saya bergurau dengan Keziah, 'Kakak awak dah bagi hadiah, awak tak bagi ke?’ Lepas itu dia senyum dan beritahu saya, on the way.

"Jadi, saya ingatkan dia ada pesan barang, macam biasa orang order barang melalui TikTok. Saya fikir barang itu masih dalam perjalanan.

"Malam Ahad, saya tanya lagi, 'Mana hadiah?' Sebab sebelum itu dia ada beritahu saya yang dia sudah pesan barang dan minta saya buat bayaran. Bila saya tanya bila barang itu sampai, dia periksa dan kata barang itu masih di lapangan terbang, belum sampai.

"Jadi, saya ingatkan hadiah itu akan sampai kemudian. Saya fikir mungkin hadiah itu berbaloi untuk ditunggu. Tapi saya langsung tidak sangka hadiah yang dimaksudkan itu sebenarnya...," katanya.

Menurut Kasturi, Keziah juga pernah menyimpan impian untuk menjadi pelakon kerana mahu dikenali ramai.

Katanya, anaknya seorang yang suka menjadi perhatian dan pernah menyatakan hasrat untuk menjadi terkenal.

Namun, tidak pernah terlintas di fikiran Kasturi yang impian anaknya untuk dikenali ramai akhirnya menyebabkan nama Keziah menjadi perhatian selepas kematiannya.

"Bagi saya, tiada ibu yang mahu anak dia dikenali dengan cara macam ini," katanya.

Bagi Kasturi, apa yang diharapkannya kini hanyalah keadilan dan kebenaran mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada anaknya.

Lebih menyedihkan, dia mahu kes yang menimpa Keziah menjadi yang terakhir dan tidak ada lagi anak lain menjadi mangsa.

"Dia seorang saja yang tahu apa yang dia lalui. Sebagai seorang ibu, saya tahu dia kena buli (mengikut perbualan mereka berdua), dia berdepan dengan tekanan buli. Itu saja yang saya tahu.

"Sekarang anak saya sudah tiada. Saya mahu keadilan untuk anak perempuan saya," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan mengarahkan siasatan dalaman berhubung kematian pelajar Tingkatan Dua itu yang dikaitkan dengan dakwaan buli verbal, termasuk kata-kata berunsur perkauman, diselesaikan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan polis sudah merakam 92 keterangan saksi setakat Sabtu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan buli. - Awani