278 peserta jayakan Larian Amal Merdeka SeJati, kumpul dana pendidikan digital

Iklan
Selain beriadah, program ini turut mengumpul dana bagi membantu menyediakan kemudahan pendidikan digital yang lebih baik untuk murid SK Jaya Bakti.

Seramai 278 peserta menyertai Larian Amal Merdeka SeJati 2026 yang bukan sahaja menghidupkan semangat sambutan bulan kemerdekaan, malah membawa misi mengumpul dana bagi keperluan dan kemudahan pendidikan digital di Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Bakti, Beluran, Sabah.

Penyelaras Program, Mohd Haiqal Abdul Hamid berkata, larian anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya menjadi satu iltizam untuk memastikan kesejahteraan dan peluang pendidikan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

Iklan
Iklan

"Program bermatlamat mengumpul dana keperluan dan kemudahan pendidikan digital di SK Jaya Bakti.

"Selain mengamalkan gaya hidup sihat, pendidikan bermutu juga diutamakan khususnya untuk murid-murid di sini yang terletak di luar bandar," katanya yang juga guru Bahasa Melayu. 

Iklan

Larian Amal Merdeka SeJati 2026 yang disempurnakan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Beluran, Dr Nancy Ng Yut Kuan turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya Program Saringan Kesihatan oleh Klinik Kesihatan Ulu Dusun, gerai jualan, karaoke, Soopa-doopa serta cabutan nombor bib bertuah.

Iklan

Ketua Bahagian UPKO Beluran, Dr Peter Jr Naintin; Ketua Kampung Jaya Bakti, Othman Abdullah; Guru Besar SK Jaya Bakti, Abdul Sukor Barhim; Yang Dipertua PIBG SK Jaya Bakti, Nora Jalani dan mantan Guru Besar SK Jaya Bakti, Salasiah Said juga hadir sekali gus memeriahkan acara larian itu. 

Dr Nancy

Kuih tradisional jadi penyeri

Program dimulakan dengan acara senamrobik di padang sekolah yang dikendalikan oleh 20 murid SeJati Dancers dengan penuh semangat dan kemeriahan.

Selesai sesi senamrobik, Dr Nancy kemudiannya menyempurnakan flag off peserta larian di hadapan pagar utama sekolah.

Keunikan Larian Amal Merdeka SeJati 2026 kali ini adalah penyediaan hidangan tradisional di Water Station untuk peserta.

Selain menghilangkan dahaga dan mengembalikan tenaga, peserta turut dihidangkan dengan kuih-muih tradisional seperti karipap, penjeram dan nona manis.

Keunikan itu bukan sahaja menambah kemeriahan acara, malah mengetengahkan sajian tempatan kepada para peserta sepanjang berlangsungnya larian.

Setelah semua peserta berjaya menamatkan larian, acara diteruskan dengan cabutan nombor bib bertuah sebagai penutup program.