Management and Science University (MSU) memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar dan pembangunan komuniti melalui MYCORAL 10: A Decade Celebrating Life Below Water yang menandakan sedekad usaha.
Berlangsung dari 20 hingga 23 Ogos 2026 di Perkampungan Rhu 10, Setiu, Terengganu mencerminkan pendekatan berterusan MSU dalam memperkasa ekosistem marin.
Inisiatif Embracing Community Healthcare Project (ECHO) melibatkan Persatuan Nelayan Kawasan Setiu itu dimeriahkan dengan klinik kesihatan bergerak, kesedaran kesihatan, pemeriksaan pergigian dan pendidikan kebersihan kepada komuniti setempat.
Turut dijalankan ialah aktiviti keusahawanan sosial bersama MyCoral Community Divers yang banyak memberi sumbangan terhadap usaha pemuliharaan marin, sesi pembelajaran di MyCoral Community Learning Centre (CLC) diaktifkan sistem tenaga solar yang berperanan dalam pusat pembangunan komuniti serta aktiviti gotong-royong di Kampung Penarek.
Kemuncak MYCORAL 10 ialah Program Pemulihan Terumbu Karang di Pulau Gelok termasuk pembersihan kawasan pesisir pantai.
Inisiatif itu mengetengahkan kepentingan memulihkan ekosistem marin di samping mengurangkan ancaman pencemaran dan sisa buangan di kawasan pesisir.
Hadir melancarkan edisi ke-10 tahun MYCORAL 10 ialah Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid.
Turut hadir ialah Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid, barisan pengurusan kanan, alumni, rakan strategik serta para pelajar termasuk pelajar antarabangsa dari China, Indonesia, Bahrain, India, Jepun, Seychelles, Timor Leste, Syria dan Maldives.
Simbolik pelancaran MYCORAL 10 ialah pemasangan MyCoral Coral Frame ke-100, di samping pelancaran Papan Tanda Kesedaran MyCoral, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan pemuliharaan program.
Program diteruskan di Kampung Mangkok menerusi inisiatif Go Green Gardening yang memberi tumpuan kepada penanaman pokok bakau melengkapi usaha pemulihan terumbu karang sebagai ekosistem pesisir pantai
Inisiatif MYCORAL 10 disertai rakan universiti MSU dari Indonesia termasuk Universitas Pattimura Ambon, Universitas Brawijaya, Universitas Muhammadiyah Surakarta, Politeknik Negeri Medan dan Politeknik Negeri Malang.
Sokongan rakan strategik termasuk Dorken Reef Resources, Jabatan Perikanan serta Persatuan Nelayan Kawasan Setiu, Perkampungan Rhu 10 turut mencerminkan komitmen bersama terhadap kelestarian maritim dan pembangunan komuniti secara holistik.