Buli hingga ragut nyawa, kerajaan perlu bertindak tegas - Saifuddin

Iklan
Saifuddin

Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mesti mengambil tindakan tegas dan segera bagi menghentikan gejala buli di sekolah susulan kematian seorang pelajar di Kuala Pilah.

Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kejadian itu menimbulkan persoalan serius mengenai tahap keselamatan pelajar di sekolah.

Iklan
Iklan

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu turut berkata, beliau amat dukacita dan terkejut dengan laporan mengenai kematian pelajar berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian dipukul.

"Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Kehilangan seorang anak dalam keadaan sedemikian merupakan satu tragedi yang amat berat untuk ditanggung sesebuah keluarga," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan masih berjalan dan punca sebenar kematian perlu ditentukan pihak berkuasa.

"Walaupun siasatan masih berjalan dan punca sebenar kematian perlu ditentukan oleh pihak berkuasa, tetapi kejadian ini sekali lagi menimbulkan persoalan serius tentang tahap keselamatan pelajar di sekolah," katanya.

Iklan

Saifuddin berkata, sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak belajar dan bukannya tempat mereka terdedah kepada keganasan serta buli.

Menurutnya, kerajaan khususnya KPM tidak boleh melihat isu buli sebagai masalah disiplin biasa.

"Apabila buli melibatkan keganasan fizikal sehingga mengakibatkan kecederaan parah atau kehilangan nyawa, ia mesti ditangani sebagai perkara yang serius dan memerlukan tindakan tegas," katanya.

Beliau berkata, anak-anak dihantar ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan dan bukannya menjadi mangsa keganasan.

"Kerajaan mesti bertindak tegas. Jangan tunggu sehingga lebih banyak nyawa menjadi korban sebelum masalah buli ini benar-benar ditangani," tambahnya. - Sinar Harian