TVET tarik minat pelajar SBP, sekolah sains dan MRSM

Iklan
Perkembangan itu mencerminkan perubahan persepsi masyarakat terhadap pendidikan kemahiran yang kini menjadi keutamaan di Malaysia dan peringkat global. Foto: Canva

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semakin mendapat perhatian pelajar daripada pelbagai aliran pendidikan apabila Kolej Vokasional (KV) turut menjadi pilihan pelajar sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah sains, sekolah menengah agama dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Kementerian Pendidikan, Zulkernai Fauzi berkata, perkembangan itu mencerminkan perubahan persepsi masyarakat terhadap pendidikan kemahiran yang kini menjadi keutamaan di Malaysia dan peringkat global.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, bagi sesi 2025, sebanyak 60,868 permohonan ke KV diterima, namun hanya 17,912 tempat disediakan, dengan kadar penerimaan sebanyak 29.5 peratus.

"Pemohon bukan sekadar daripada sekolah harian biasa, malah juga SBP, sekolah menengah sains, sekolah menengah agama serta MRSM turut berminat memasuki KV.

Iklan

"KV menjadi pilihan kerana pendidikan serta latihan TVET kini menjadi keutamaan bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Lawatan Jom TVET di Kolej Vokasional Kuala Krai, Kelantan.

Zulkernai berkata, struktur pengajian diploma KV yang merangkumi latihan industri selama enam bulan membolehkan lulusannya menamatkan pengajian pada usia 20 tahun berbanding 21 tahun ke atas mengikut laluan lazim bagi diploma.

Iklan

Beliau berkata, KPM menyasarkan 70 peratus graduan KV bekerja dalam bidang pengajian masing-masing, manakala 20 peratus menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan 10 peratus lagi menceburi bidang keusahawanan.

Sementara itu, beliau berkata, program Jom TVET memberikan pendedahan mengenai bidang itu kepada golongan muda dan pelajar, selain mengubah tanggapan bahawa TVET pilihan kedua dalam pendidikan.

"Pelajar KV turut didedahkan kepada keperluan industri moden yang semakin memerlukan tenaga kerja mahir, selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0," katanya. - Bernama