Anak bakal hadapi SPM, STAM atau UPKK? Ini cara ibu bapa bantu kekal tenang & bersedia

Iklan
Parent Support Group (PSG) iaitu grup yang dibina oleh kumpulan ibu bapa bagi pelajar Tingkatan Lima di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Sabak Bernam, Selangor dalam membantu kelancaran sesi pelajaran di luar bilik darjah.

Sama ada anak berada di rumah atau di asrama, sokongan emosi, strategi saat akhir, doa dan amalan kerohanian ibu bapa mampu menjadi bekalan penting ketika anak menghampiri hari peperiksaan.

Apabila musim peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) semakin hampir, bukan calon sahaja yang mula berdebar. Ibu bapa juga turut menghitung hari dan memikirkan pelbagai perkara tentang persediaan anak. Ada yang melihat sendiri anak mengulang kaji di rumah sehingga lewat malam, manakala sebahagian ibu bapa hanya dapat mengikuti perkembangan melalui panggilan telefon atau pesanan ringkas kerana anak berada di asrama.

Walaupun situasinya berbeza, kebimbangan ibu bapa hampir sama. Sudah cukupkah persediaan anak? Subjek mana yang masih lemah? Adakah mereka benar-benar bersedia? Bagaimana pula jika keputusan nanti tidak seperti yang diharapkan?

Iklan
Iklan

Semua persoalan itu lahir daripada rasa sayang dan harapan. Namun dalam tempoh beberapa minggu atau beberapa hari sebelum peperiksaan, ibu bapa perlu memahami bahawa bentuk sokongan yang diberikan boleh memberi kesan besar terhadap keadaan emosi anak.

Anak bukan sekadar sedang berdepan buku, nota dan latihan. Mereka juga sedang mengurus ketakutan terhadap kegagalan, keletihan, persaingan dengan rakan, harapan guru serta kebimbangan untuk tidak mengecewakan keluarga.

Iklan

Pada ketika inilah ibu bapa perlu menjadi sumber ketenangan, bukan tekanan tambahan.

 

Iklan

Anak di asrama? Jarak bukan alasan untuk kurang menyokong

Bagi anak yang tinggal di asrama, peranan ibu bapa tidak menjadi kecil hanya kerana mereka berjauhan. Kehadiran ibu bapa bukan semata-mata soal berada di sebelah anak ketika mereka belajar. Kadangkala satu panggilan telefon yang tenang sudah cukup untuk memberikan kekuatan. Namun panggilan itu jangan dijadikan sesi audit.

Jika setiap kali telefon berbunyi, anak sudah dapat menjangka soalan seperti 'Dah habis berapa bab?', 'Percubaan dapat berapa?' atau 'Boleh dapat semua A tak?', mereka mungkin mula melihat panggilan daripada rumah sebagai satu lagi bentuk tekanan.

Sebaliknya, mulakan perbualan dengan perkara yang lebih dekat dengan emosi anak. Tanyakan keadaan mereka. Tanyakan sama ada mereka cukup tidur, sempat makan dan bagaimana suasana di sekolah. Selepas anak mula selesa bercakap, barulah sentuh tentang pembelajaran.

Kadangkala masalah akademik hanya muncul selepas seorang anak merasakan bahawa ibu dan ayah benar-benar mahu mendengar.

Jangan audit anak setiap kali telefon

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak di asrama, telefon menjadi penghubung utama. Justeru, setiap panggilan sepatutnya membawa rasa selamat, bukannya tekanan.

Ada masanya anak tidak mahu bercakap panjang. Ada masanya mereka hanya menjawab ringkas kerana penat. Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan bahawa mereka malas atau tidak serius terhadap peperiksaan.

Kadangkala ayat, 'Tak apa, rehat dulu. Bila lapang nanti telefon ibu,' lebih memberi ketenangan daripada bertalu-talu bertanya tentang pelajaran.

Tukar 'berapa A?' kepada 'apa yang boleh kami bantu?'

Salah satu perkara yang perlu diubah ialah cara ibu bapa bertanya tentang pencapaian.

Soalan 'Berapa A?' boleh ditukar kepada 'Subjek mana yang kamu rasa masih kurang yakin?' 

Soalan 'Kenapa masih tak boleh?' pula boleh digantikan dengan 'Bahagian mana yang susah dan apa bantuan yang kamu perlukan?'

Perubahan bahasa mungkin kelihatan kecil, tetapi kesannya besar. Anak tidak lagi berasa seperti sedang diadili, sebaliknya merasakan bahawa ibu bapa berada di belakang mereka untuk membantu. 

Belajar lama belum tentu belajar berkesan

Dalam tempoh hampir peperiksaan, ibu bapa juga perlu berhenti menganggap bahawa semakin lama anak menghadap buku, semakin baik persediaannya.

Ada anak yang belajar sehingga lewat malam kerana takut dianggap tidak bersungguh-sungguh. Ada juga ibu bapa yang berasa lega apabila melihat anak masih belajar pada pukul satu atau dua pagi. Hakikatnya, tubuh dan minda yang terlalu letih sukar mengekalkan tumpuan.

Anak yang duduk tiga jam di hadapan buku dalam keadaan mengantuk tidak semestinya belajar lebih banyak berbanding anak yang mengulang kaji dengan fokus selama satu jam dan kemudian berehat secukupnya.

Anak penat bukan bermaksud anak malas

Bagi pelajar asrama, perkara ini lebih penting kerana rutin harian mereka lazimnya sudah padat.

Mereka bangun awal, mengikuti kelas, aktiviti sekolah, sesi prep, kelas tambahan dan perbincangan bersama rakan. Apabila pulang bercuti lalu mahu tidur lebih lama, ibu bapa jangan terlalu cepat melabel mereka malas. Kadangkala mereka hanya penat.

Rehat bukan musuh kepada kejayaan. Dalam tempoh tertentu, rehat merupakan sebahagian daripada persediaan.

Saat akhir, jangan kejar semua topik

Apabila peperiksaan tinggal beberapa hari, ibu bapa juga perlu memahami bahawa saat akhir bukan masa untuk menambah segala-galanya.

Tidak perlu membeli terlalu banyak buku baharu. Tidak perlu memaksa anak mengulang seluruh silibus dari awal. Tidak perlu menambah kelas sehingga jadual mereka menjadi terlalu padat.

Saat akhir ialah masa untuk menyusun. Bantu anak mengenal pasti apa yang sudah dikuasai, apa yang hampir dikuasai dan apa yang masih menjadi kelemahan. Strategi sebegini jauh lebih realistik daripada cuba menyelamatkan seluruh silibus dalam masa satu atau dua malam.

Guna kaedah 'nota satu muka surat' 

Anak juga boleh digalakkan menyediakan satu helaian ringkas bagi setiap mata pelajaran.

Tidak perlu terlalu cantik atau penuh warna. Cukup sekadar mengandungi formula penting, kata kunci, fakta yang mudah terlupa, struktur jawapan dan kesalahan yang sering dilakukan. Helaian ini boleh menjadi bahan imbasan terakhir sebelum peperiksaan.

Bagi ibu bapa yang anak berada di asrama, tidak perlu meminta mereka menghantar semua nota untuk diperiksa. Beri kepercayaan. Anak yang semakin dewasa juga perlu belajar mengurus dirinya sendiri. 

72 jam kritikal: Ini yang ibu bapa perlu buat

Dalam tempoh 72 jam terakhir, suasana perlu mula diperlahankan.

Tiga hari sebelum peperiksaan, anak boleh menumpukan kepada topik kritikal dan latihan terpilih. Aktiviti yang tidak perlu boleh dikurangkan dan waktu tidur perlu mula distabilkan.

Dua hari sebelum peperiksaan, fokus boleh diberikan kepada kesalahan yang sering dilakukan, teknik menjawab serta nota ringkas. Pada tahap ini, tidak banyak manfaat jika terlalu banyak bahan baharu dimasukkan.

Sehari sebelum peperiksaan, intensiti belajar wajar dikurangkan. Dokumen, jadual, alat tulis, kalkulator dan pakaian perlu disediakan lebih awal supaya pagi peperiksaan tidak menjadi kelam-kabut.

Malam terakhir, jangan paksa anak berjaga. Malam sebelum peperiksaan bukan malam untuk 'maraton belajar'. Jika anak sudah mengulang kaji selama berminggu-minggu, beberapa jam tidur yang baik mungkin lebih membantu berbanding satu lagi sesi belajar panjang dalam keadaan badan terlalu letih.

Bagi anak di asrama, satu mesej ringkas seperti berikut mungkin memberikan kelegaan yang mereka perlukan. 'Cukup untuk malam ini. Rehat. Esok jawab dengan tenang.' 

24 jam terakhir, tutup buku ceramah

Jika anak tidak cukup belajar sebelum ini, mengungkit perkara itu sehari sebelum peperiksaan tidak akan menambah pengetahuan mereka.

Sebaliknya, ia hanya menambah tekanan. Ayat seperti 'Dulu ibu dah pesan,' 'Kalaulah belajar awal' atau 'Jangan buat malu' tidak membantu pada saat itu.

Dalam tempoh 24 jam terakhir, tugas ibu bapa ialah membantu anak masuk ke dewan peperiksaan dalam keadaan emosi yang stabil.

Pagi peperiksaan, bagi keyakinan bukan tekanan

Pada pagi peperiksaan, cukuplah dengan pesanan ringkas yang menenangkan.

Elakkan memberi terlalu banyak arahan sehingga menambah debaran anak. Tidak perlu berkata 'Mesti dapat A', 'Jangan buat salah' atau 'Ini menentukan masa depan kamu'. 

Anak sudah cukup berdebar. Cukuplah dengan beberapa ayat yang mudah dibawa bersama ke dewan.

Baca soalan dengan teliti, Kalau susah, jangan panik, Jawab yang kamu tahu dahulu, Buat yang terbaik dan doa ibu ayah bersama kamu. 

Kertas dah habis? Jangan jadi ‘pemeriksa kedua’

Selepas sesuatu kertas selesai, jangan terus membuat 'bedah siasat' jawapan. Jika anak menyedari bahawa dia mungkin tersalah menjawab, emosi itu boleh terbawa-bawa ke kertas seterusnya.

Apa yang telah dihantar tidak boleh diubah. Lebih baik katakan: 'Satu kertas sudah selesai. Rehat dahulu. Selepas ini fokus yang seterusnya.' 

Jangan guna 'anak orang' sebagai kayu ukur

Setiap calon mempunyai kekuatan dan kelemahan yang berbeza. Membandingkan anak dengan orang lain mungkin hanya menambah rasa rendah diri. Lebih baik lihat kemajuan mereka sendiri. Jika markah meningkat, hargai.

Jika mereka semakin konsisten belajar, hargai. Jika mereka mula berani bertanya guru, hargai. Jika mereka semakin pandai mengurus masa, itu juga satu kemajuan. Kadangkala satu pujian kecil daripada ibu atau ayah memberikan lebih banyak tenaga daripada satu jam ceramah.

Suara anak berubah? Jangan abaikan

Ibu bapa juga perlu peka terhadap perubahan emosi anak. Bagi anak yang tinggal di rumah, perubahan mungkin jelas kelihatan melalui wajah dan tingkah laku. Bagi anak di asrama pula, ibu bapa mungkin hanya dapat mengesannya melalui suara.

Jika anak mula berkata 'Saya takut', 'Saya rasa tak sempat' atau 'Saya dah penat', jangan terlalu cepat membalas dengan 'Jangan fikir bukan-bukan'. Tanyakan apa yang sebenarnya membuatkan mereka risau.

Apabila anak diberi ruang untuk meluahkan perasaan, mereka biasanya lebih mudah melihat bahawa masalah itu masih boleh diuruskan. 

Jangan jadikan pengorbanan sebagai 'hutang keputusan'

Tidak dinafikan ibu bapa berbelanja besar untuk pendidikan. Yuran, buku, kelas tambahan, tambang, asrama dan pelbagai keperluan lain bukan sedikit. Namun jangan jadikan pengorbanan itu sebagai hutang yang perlu dibayar dengan keputusan cemerlang.

Ibu bapa tetap boleh tegas dan menuntut usaha, tetapi bezakan antara menegur sikap dengan membuatkan anak percaya bahawa 'kasih sayang hanya datang apabila keputusan mereka cemerlang.' 

Usaha sudah buat, jangan lupa doa dan tawakal

Bagi keluarga Muslim, persediaan peperiksaan bukan hanya berkaitan usaha akademik. Ia juga menjadi ruang untuk ibu bapa dan anak menguatkan hubungan dengan ALLAH SWT. Usaha, disiplin, doa dan tawakal perlu bergerak seiring.

Perkara paling utama ialah menjaga solat fardu. Dalam kesibukan mengulang kaji, jangan sampai solat dianggap mengganggu jadual belajar. Sebaliknya, jadikan waktu solat sebagai ruang untuk berhenti seketika, menenangkan hati dan memperbaharui niat.

Ibu bapa juga boleh melakukan solat sunat hajat, memperbanyakkan istighfar, selawat dan doa mengikut kemampuan.

Namun doa tidak menggantikan usaha. Tidak memadai berdoa sepanjang malam jika buku tidak dibuka, sebagaimana belum lengkap usaha yang bersungguh-sungguh jika hati langsung tidak bergantung kepada ALLAH Peganglah formula mudah: Usaha + Disiplin + Doa + Tawakal. 

Doa paling jujur lahir secara spontan

Doakan agar anak diberikan kelapangan hati, ketenangan, kefahaman, ketelitian dan kemudahan ketika menghadapi peperiksaan. Doa ibu bapa tidak semestinya panjang atau tersusun indah. Kadangkala doa paling jujur lahir secara spontan apabila hati tiba-tiba teringatkan anak.

Biasakan refleks berdoa. Ketika memandu, memasak, bekerja atau sebelum tidur, apabila wajah anak tiba-tiba terlintas di fikiran, terus jadikan ingatan itu sebuah doa: 'Ya ALLAH, jagalah anakku, tenangkan hatinya, permudahkan urusannya dan kurniakan hasil terbaik daripada segala usahanya.' 

Ada waktunya, doa seorang ibu atau ayah mungkin sesederhana: 'Ya ALLAH, aku tidak mampu berada di sisinya setiap masa. Maka jagalah dia ketika aku tidak mampu menjaganya.' 

Bagi ibu bapa yang anaknya berada di asrama, jangan berasa jarak mengecilkan peranan anda

Tidak dapat menyediakan sarapan pada pagi peperiksaan - doakan.

Tidak dapat menghantar ke dewan - doakan.

Tidak dapat menemani ketika mereka belajar malam - doakan.

Selepas solat, sebutlah nama anak dalam doa. Ketika mereka sedang menduduki peperiksaan, teruskan berzikir, beristighfar dan berdoa mengikut kemampuan. Jarak mungkin memisahkan tempat, tetapi tidak pernah menghalang doa seorang ibu dan ayah.

Akhirnya, yang menjadikan doa itu bernilai bukan keindahan susunan katanya, tetapi keikhlasan hati, pengharapan yang tulus dan tawakal sepenuhnya kepada ALLAH. 

Ibu bapa juga boleh memperbanyakkan sedekah dan amalan kebaikan

Sedekah bukan transaksi dengan ALLAH, bukan bermaksud kita memberi sesuatu lalu mengharapkan keputusan tertentu sebagai balasan.

Sebaliknya, sedekah mendidik hati untuk memberi, berkongsi dan mendoakan kebaikan bukan hanya untuk anak sendiri, tetapi juga untuk anak-anak lain yang sedang melalui perjuangan peperiksaan yang sama.

Ibu bapa boleh mengajak anak berkongsi secara langsung dengan kelompok calon SPM, STAM, UPKK atau peperiksaan lain.

Contohnya, sediakan pek alat tulis, air mineral, makanan ringan, kurma, nota ringkas, pen, pensel, pemadam atau keperluan peperiksaan untuk dikongsi bersama rakan-rakan sekelas, rakan seasrama atau calon lain yang memerlukan.

Jika anak mempunyai nota yang baik, galakkan mereka berkongsi dengan rakan. Jika ada latihan yang bermanfaat, fotostatkan beberapa salinan. Jika ibu bapa menyediakan makanan atau bekalan untuk anak sendiri, sekali-sekala lebihkan sedikit supaya boleh dikongsi bersama rakan-rakannya.

Mesej yang mahu dibentuk ialah apabila anak kita menerima satu pek makanan, rakannya juga menerima. Apabila anak kita mendapat alat tulis, calon lain juga dapat menggunakannya. Apabila anak kita mempunyai nota, ilmu itu turut dikongsi.

"Bukan anak kita sahaja yang kita mahu berjaya. Kita mahu anak-anak orang lain juga dipermudahkan." 

Inilah pendidikan yang sangat bermakna menjelang peperiksaan, 'belajar bahawa kejayaan tidak perlu dimiliki seorang diri.'  

Ibu bapa juga boleh mengajar anak supaya mendoakan rakan-rakannya: 'Ya ALLAH, permudahkan urusan kami semua. Berikanlah kejayaan kepada kami dan rakan-rakan kami.'  

Dengan cara ini, anak belajar bahawa dalam mengejar kejayaan sendiri, mereka masih mampu memiliki rasa ihsan, empati dan kegembiraan apabila melihat orang lain turut berjaya. Anak kita dapat, anak orang lain pun dapat. Anak kita dipermudahkan, kita juga mendoakan anak orang lain dipermudahkan.

Itulah semangat memberi yang lebih besar ; 'berkongsi rezeki, berkongsi ilmu dan berkongsi doa.' 

Jaga lidah ibu bapa, banyakkan doa baik

Dalam tempoh peperiksaan, lidah ibu bapa juga perlu dijaga. Elakkan menyebut 'Kamu memang susah nak berjaya', 'Entah apa akan jadi' atau 'Kalau macam ini memang tak dapat A.' Walaupun disebut dalam keadaan marah, ayat seperti ini boleh melemahkan semangat anak.

Sebaliknya, biasakan ungkapan yang membina. 'Insya-ALLAH dipermudahkan.' 'Ibu percaya kamu boleh berusaha.' 'ALLAH nilai usaha kita.' 'Kita buat sebaik mungkin dan serahkan hasil kepada ALLAH.' Kata-kata yang baik juga merupakan sebahagian daripada sokongan spiritual.

Pegang formula 6H

  • HADIR secara emosi walaupun tidak selalu secara fizikal.
  • HUBUNGI anak tanpa menjadikan setiap panggilan sebagai sesi audit.
  • HARGAI usaha dan kemajuan mereka.
  • HINDARI perbandingan.
  • HIDUPKAN doa dan amalan spiritual.
  • HARAPKAN yang terbaik tanpa menjadikan kasih sayang bergantung kepada keputusan.

Paling penting, anak perlu rasa mereka tidak bersendirian. 

Anak yang bakal menduduki peperiksaan perlu tahu satu perkara penting iaitu 'mereka tidak bersendirian.'  

Bagi anak yang tinggal bersama keluarga, sokongan mungkin hadir melalui sarapan pagi, ruang belajar yang tenang atau pelukan sebelum keluar rumah.

Bagi anak di asrama, sokongan itu mungkin datang dalam bentuk panggilan singkat, pesanan sebelum peperiksaan atau doa daripada jauh. Bentuknya berbeza, tetapi mesejnya sama.

"Kami percaya kepada kamu." 

"Kami tahu kamu sudah berusaha." 

"Tenang, fokus dan yakin." 

"Buat yang terbaik. Kami sentiasa mendoakan." 

Peperiksaan mungkin hanya berlangsung beberapa minggu, tetapi cara ibu bapa hadir ketika anak berada dalam fasa paling mencabar boleh kekal dalam ingatan mereka bertahun-tahun.

Justeru, sama ada anak berada di bilik sebelah atau jauh di asrama, jadilah ibu bapa yang bukan sekadar menunggu keputusan.

Jadilah sumber ketenangan, keyakinan, doa dan kekuatan sebelum anak melangkah masuk ke dewan peperiksaan.

Maklumat penulis:

Guru di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustazah Munera Hashim (Ustazah Bonda)

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my