Keresahan semakin membelenggu ibu bapa apabila kes buli dan keganasan dalam kalangan pelajar terus mendapat perhatian masyarakat. Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak menimba ilmu dan membina sahsiah, kini turut berdepan persoalan besar mengenai keselamatan serta kesejahteraan pelajar.
Dalam tempoh dua minggu sahaja, masyarakat dikejutkan dengan kematian dua pelajar, Muhammad Idlan, 14, yang ditemui meninggal dunia di asrama dan Irene Sofia, 16, yang ditemui dalam keadaan kritikal di dewan sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Pihak polis mengklasifikasikan kedua-dua kes sebagai kes bunuh dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Tragedi sebegini sememangnya mengundang persoalan besar. Apakah yang sedang berlaku dalam institusi pendidikan kita? Apakah pencapaian akademik yang semakin diberi perhatian sudah cukup untuk menjamin pembentukan generasi yang benar-benar seimbang dari segi intelek, emosi, sosial dan akhlak?
Sekolah pada asasnya bukan sekadar tempat untuk mengejar gred dan kelayakan akademik. Ia adalah ruang untuk membentuk manusia.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan sendiri meletakkan matlamat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 pula memberikan penekanan kepada pembangunan modal insan secara holistik.
Namun, jika tragedi melibatkan pelajar semakin berulang, kita perlu berani bertanya sama ada terdapat lompong dalam proses pembentukan karakter yang selama ini belum diberikan perhatian secukupnya.
Nilai yang semakin terhakis
Satu persoalan yang wajar direnungkan ialah sejauh mana tragedi yang berlaku memberi kesan kepada pelajar lain yang menyaksikannya atau mengetahuinya.
Pelajar berusia 15 hingga 18 tahun termasuk dalam kategori belia peringkat awal berdasarkan pembahagian umur belia yang diperkenalkan menerusi Dasar Belia Malaysia. Mereka ialah kelompok yang bakal meneruskan kesinambungan pembangunan dan ketamadunan negara.
Namun, membentuk generasi masa depan bukan hanya soal menyediakan pendidikan akademik yang berkualiti. Ia turut menuntut pembinaan nilai, identiti, empati, kawalan diri dan keupayaan memahami kesusahan orang lain.
Dalam hal ini, kita tidak boleh mengabaikan data yang telah tersedia.
Indeks Belia Malaysia 2024 (IBM24) yang diterbitkan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) mengukur kesejahteraan belia menerusi enam domain utama, termasuk pendidikan, ekonomi, kesejahteraan mental dan fizikal, sosialisasi politik, kenegaraan dan demokrasi, nilai dan identiti serta media dan kewarganegaraan digital.
Yang perlu diberi perhatian ialah penurunan ketara skor domain Nilai dan Identiti daripada 90.90 pada 2023 kepada 75.71 pada 2024.
Domain berkenaan penting kerana ia mengukur aspek pembangunan sahsiah dan pembentukan nilai unggul dalam kalangan belia.
Lebih membimbangkan, beberapa indikator dalam domain berkenaan menunjukkan tahap yang perlu diberikan perhatian, termasuk sensitiviti dan keprihatinan, konsep kendiri, gaya hidup, kepimpinan serta kawalan diri.
Indikator sensitiviti dan keprihatinan misalnya menunjukkan penurunan daripada 68.50 pada 2021 kepada 35.28 pada 2024.
Angka ini tidak seharusnya dilihat sekadar statistik dalam laporan.
Ia perlu dibaca sebagai isyarat bahawa pembangunan nilai dalam kalangan generasi muda memerlukan perhatian yang lebih serius.
Apabila rakan tidak lagi peduli
Dalam kes buli, mangsa jarang berada bersendirian. Lazimnya terdapat rakan yang mengetahui, melihat atau sekurang-kurangnya menyedari perubahan yang berlaku kepada mangsa.
Persoalannya, adakah mereka mempunyai keberanian dan keprihatinan untuk bertindak?
Jika seorang pelajar dibuli dan rakan di sekeliling memilih untuk berdiam diri, kita sebenarnya berdepan persoalan yang lebih besar daripada salah laku seorang individu.
Kita sedang berdepan dengan persoalan mengenai budaya.
Budaya yang membiarkan penderitaan orang lain menjadi perkara biasa adalah sesuatu yang perlu dibimbangkan.
Mungkin benar hanya sebahagian kecil pelajar terbabit dalam salah laku. Namun, dalam sesebuah komuniti, seorang individu yang melakukan tindakan berbahaya sudah cukup untuk menjejaskan rasa selamat dan kesejahteraan ramai yang lain.
Sebab itu nilai keprihatinan dan sensitiviti amat penting.
Masyarakat tidak mungkin berfungsi dengan baik jika setiap individu hanya memikirkan kepentingan diri sendiri.
Dalam kehidupan sosial, manusia saling bergantung dan memerlukan satu sama lain. Justeru, apabila kepekaan terhadap kesusahan orang lain semakin hilang, asas kehidupan bermasyarakat juga mula terhakis.
Akademik penting, tetapi karakter tidak boleh dipinggirkan
Dalam mengejar kecemerlangan akademik, kita perlu berhati-hati agar kejayaan tidak diukur semata-mata berdasarkan keputusan peperiksaan, bilangan A atau pencapaian pertandingan.
Pelajar mungkin memperoleh keputusan akademik yang cemerlang, tetapi pada masa sama masih memerlukan bimbingan dalam mengurus emosi, menyelesaikan konflik, mengawal kemarahan, menghormati perbezaan dan memahami akibat tindakan terhadap orang lain.
Di sinilah peranan pendidikan karakter menjadi semakin penting.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Program Pembentukan Karakter dalam Kurikulum Persekolahan 2027 memberi penekanan terhadap aspek pembentukan karakter sejak peringkat awal pendidikan.
Pendekatan ini selari dengan keperluan semasa untuk memastikan pendidikan tidak berhenti pada pemindahan ilmu, tetapi turut membentuk manusia yang mempunyai nilai dan prinsip.
Pendidikan karakter tidak sepatutnya dianggap sebagai mata pelajaran tambahan yang hanya perlu diselesaikan untuk memenuhi kurikulum.
Ia perlu diterjemahkan dalam budaya sekolah, cara guru berinteraksi dengan pelajar, hubungan sesama rakan serta bagaimana konflik dan salah laku ditangani.
Adab ialah benteng sebelum hukuman
Kebimbangan terhadap kemerosotan adab dan akhlak juga bukan perkara baharu.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dalam titah baginda baru-baru ini turut menzahirkan kebimbangan terhadap krisis adab dan akhlak yang semakin meruncing dalam kalangan masyarakat.
Baginda mengingatkan bahawa keruntuhan nilai adab dan akhlak boleh membawa kepada kehancuran sesebuah ketamadunan serta menekankan kepentingan pembangunan adab demi generasi masa hadapan.
Pesanan itu wajar direnungkan dalam konteks pendidikan hari ini.
Hukuman mungkin diperlukan apabila berlaku salah laku, tetapi pendidikan nilai perlu bermula jauh sebelum salah laku berlaku.
Kita tidak boleh hanya bertindak apabila seorang pelajar sudah menjadi mangsa atau apabila tragedi sudah berlaku.
Pencegahan memerlukan usaha yang lebih panjang dan konsisten.
Keluarga, sekolah dan masyarakat perlu bergerak bersama
Dalam situasi seperti ini, budaya menuding jari dan mencari pihak untuk dipersalahkan tidak akan menyelesaikan masalah.
Sebaliknya, institusi keluarga dan sekolah perlu bergerak sebagai dua tiang utama dalam pembentukan karakter anak-anak.
Sekolah mempunyai peranan menyediakan ilmu, pendidikan, bimbingan dan persekitaran yang selamat. Keluarga pula menjadi ruang pertama untuk anak-anak mempraktikkan nilai yang dipelajari.
Apa yang diajar di sekolah perlu diteruskan di rumah.
Nilai hormat, empati, tanggungjawab, disiplin dan keberanian mempertahankan perkara yang benar tidak sepatutnya hanya dibincangkan dalam kelas. Ia perlu menjadi amalan dalam kehidupan seharian.
Pada masa sama, masyarakat juga mempunyai peranan.
Menegur anak yang melakukan kesalahan tidak semestinya bermaksud mencampuri urusan keluarga orang lain. Dalam komuniti yang sihat, teguran yang dibuat dengan niat mendidik adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial.
Peribahasa ‘menjaga tepi kain orang’ tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membiarkan salah laku berlaku di hadapan mata.
Yang tidak wajar ialah mencampuri kehidupan peribadi orang lain tanpa batas. Namun, apabila berlaku tindakan yang jelas memudaratkan diri atau orang lain, masyarakat tidak sepatutnya memilih untuk berdiam diri.
Jangan tunggu tragedi seterusnya
Akhirnya, persoalan buli bukan hanya mengenai pelaku dan mangsa.
Ia adalah persoalan mengenai jenis masyarakat yang sedang kita bina.
Jika seorang pelajar melihat rakannya dibuli tetapi memilih untuk berdiam diri, kita perlu bertanya mengapa.
Jika seorang anak takut untuk menceritakan masalah kepada ibu bapa, kita perlu bertanya mengapa.
Jika seorang guru atau pihak sekolah hanya mengetahui masalah selepas tragedi berlaku, kita perlu bertanya apakah ruang pencegahan yang masih boleh diperbaiki.
Dan jika data sudah menunjukkan penurunan dalam aspek sensitiviti, keprihatinan dan nilai identiti belia, kita perlu bertanya apakah tindakan yang boleh dilakukan sebelum masalah menjadi lebih besar.
Pendidikan bukan sekadar proses melahirkan manusia yang tahu menjawab soalan peperiksaan. Pendidikan sepatutnya melahirkan manusia yang tahu membezakan benar dan salah, tahu menghormati orang lain, berani membantu yang lemah dan mampu mengawal diri ketika berdepan konflik.
Sekolah sepatutnya menjadi tempat anak-anak belajar tanpa rasa takut.
Keluarga sepatutnya menjadi tempat mereka kembali tanpa rasa terasing.
Masyarakat pula sepatutnya menjadi ruang yang membantu mereka membesar dengan nilai kemanusiaan.
Jangan sampai kita hanya sibuk mencari punca selepas tragedi berlaku.
Masa untuk membina semula nilai, adab dan keprihatinan ialah sekarang — sebelum satu lagi keluarga kehilangan anak, sebelum seorang lagi pelajar menjadi mangsa dan sebelum kita terpaksa bertanya sekali lagi, “Mengapa kita tidak bertindak lebih awal?”
Maklumat penulis
Pensyarah Jabatan Pengajian Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Nasrul Hakim Salleh